BERITA TERKINI
Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

'Bila kami boleh pindah..'

Written By Unknown on Tuesday 6 October 2015 | 15:43

KUALA BESUT -Penduduk di penempatan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pangkalan Atap di sini bimbang memikirkan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi kerana mereka masih belum dapat berpindah ke penempatan baharu yang disediakan kerajaan negeri.

Senario air pasang dan ombak besar membadai  dinding rumah mereka saban malam pada musim tengkujuh lalu sentiasa menghantui penduduk di 46 rumah PPRT di situ.

Menurut penduduk, rata-rata mereka di situ tidak dapat tidur lena memikirkan kalau-kalau rumah mereka ranap atau ditenggelami air laut setiap kali tengkujuh.

Justeru mereka terpaksa bersengkang mata berjaga malam bagi memastikan keselamatan anak isteri terjamin.

Penduduk sepatutnya dipindahkan ke rumah pangsa yang dimaklumkan telah siap beberapa bulan lalu di Kampung Lay Out Tok Saboh.

Namun mereka tidak dimaklumkan bila akan dibenarkan berpindah ke pangsapuri empat tingkat yang mempunyai 72 unit  rumah itu.

Tunggu arahan

Penghuni PPRT Kampung  Pangkalan Atap, Normala Mat, 45, berkata, dia sering didatangi penduduk di situ bertanyakan bilakah mereka akan dipindahkan ke pangsapuri tersebut kerana banjir akan tiba tidak lama lagi.

“Saya sendiri tak pasti bila akan pindah.. keadaan ni juga buat saya serba salah  nak baiki atap rumah yang rosak akibat dipukul kepala angin sebelum ini.

“Takut kalau-kalau dah baiki elok.. kena pindah pula, rugi pula kerana kami orang susah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ya Mahmud, 51, berkata, dia sekeluarga  sudah sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Menurutnya, kedudukan rumah yang berada di barisan paling tepi dan hampir dengan pantai menyebabkan rumahnya antara yang paling awal dimasuki air laut jika pasang besar dan dibadai ombak.

“Tapi kami tak tahu bila akan diarah pindah..  borang berkaitan  kami telah isi bagi untuk duduk rumah baru.  Walau.. hanya rumah pangsa, kami akan pindah kerana kerajaan dah bagi rumah tu pada kami," katanya.

Tidur di anjung rumah

Sementara menurut Asiah Mat Rani, 58, dia dan suaminya terpaksa tidur di bahagian anjung rumah pada musim tengkujuh sebagai langkah berjaga-jaga dan boleh beritahu awal kepada ahli keluarga atau jiran jika sesuatu berlaku.

Katanya, walaupun rumahnya tidak terjejas seperti rumah jirannya tetapi dia dan suaminya, Salleh Mat, 58 yang bekerja sebagai nelayan sentiasa berwaspada.

“Tentang pindah.. saya ikut saja arahan. Sekiranya kena pindah saya akan berpindah Cuma kami tak tahu bila,” katanya.

Manakala Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman mengulas perkara itu berkata, proses dokumentasi  sudah dilakukan sebelum ini manakala senarai sudah diajukan kepada pihak berkaitan.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mencari jalan bagi membolehkan penduduk dipindahkan ke pangsapuri Ar Rahman itu  dengan kadar segera bagi mengelak mereka berdepan masalah air pasang besar yang sering berlaku.
Promosi Pasang Astro 
PROMOSI : PEMASANGAN ASTRO
( BULANAN SERENDAH RM22.35 SAHAJA SELAMA 1 TAHUN )
TERENGGANU,KELANTAN, PAHANG
Siap Pasang ( complete sume hanya Bulanan Serendah RM22.35 Sahaja SELAMA 1 TAHUN )
1 DEKODER SET
1 OUTDOOR UNIT
1 WAYAR 20METER PERCUMA
*TIADA CAJ TERSEMBUNYI UNTUK PEMASANGAN
* WARANTI SELAMA ANDA MELANGGANG ASTRO UNTUK SET DEKODER
* HARGA PEMASANGAN BAYAR PADA INSTALLER SELEPAS DI PASANG
# Lebih murah & menjimatkan masa disamping menambah ilmu pengetahuan
# Dari rancangan kanak-kanak,hiburan,sukan,agama,sains & teknologi dalam 1 ASTRO
HUBUNGI- whatsapp CAL ke no - 01129206584

Pencari madu lebah parah jatuh pokok


BESUT - Seorang pencari madu lebah cedera parah apabila terjatuh dari sebatang pokok setinggi lebih 10 meter ketika sedang hendak mengambil madu lebah di Hutan Bukit Puteri dekat sini petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Yusof Draman, 33, dari kampung Padang Tapong Jerteh yang patah kaki kanan termasuk tulang belakang dikatakan pergi mencari madu lebah bersama seorang rakannya.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh Mustafa Ismail memberitahu, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.52 petang sebelum bertindak dengan menghantar lima daripada anggotanya ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata pasukan bomba yang dibantu anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut telah mengambil masa lebih sejam bagi mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian setelah mendapat maklumat daripada rakan mangsa yang keluar mendapatkan bantuan.

"Apabila tiba di tempat kejadian anggota saya mendapati mangsa yang tidak sedarkan diri itu telah cuba dibawa keluar oleh penduduk kampung sebelum anggota JPAM membantu membawa mangsa ke Hospital Daerah Besut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian Kelantan untuk rawatan lanjut. - Bernama
Promosi Pasang Astro 
PROMOSI : PEMASANGAN ASTRO
( BULANAN SERENDAH RM22.35 SAHAJA SELAMA 1 TAHUN )
TERENGGANU,KELANTAN, PAHANG
Siap Pasang ( complete sume hanya Bulanan Serendah RM22.35 Sahaja SELAMA 1 TAHUN )
1 DEKODER SET
1 OUTDOOR UNIT
1 WAYAR 20METER PERCUMA
*TIADA CAJ TERSEMBUNYI UNTUK PEMASANGAN
* WARANTI SELAMA ANDA MELANGGANG ASTRO UNTUK SET DEKODER
* HARGA PEMASANGAN BAYAR PADA INSTALLER SELEPAS DI PASANG
# Lebih murah & menjimatkan masa disamping menambah ilmu pengetahuan
# Dari rancangan kanak-kanak,hiburan,sukan,agama,sains & teknologi dalam 1 ASTRO
HUBUNGI- whatsapp CAL ke no - 01129206584

Semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan, ditutup 2 hari

Written By Unknown on Saturday 3 October 2015 | 22:44


KUALA LUMPUR: Semua sekolah di Semenanjung diarah tutup selama dua hari bermula esok kecuali sekolah Kelantan akibat keadaan jerebu yang semakin meruncing. Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Sabah bagaimanapun dibuka seperti biasa. Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi akaun Facebooknya, sebentar tadi. Sekolah yang terbabit tidak perlu menggantikan persekolahan mereka akibat penutupan ini. Peperiksaan PT3, STAM, SPM dan STPM 2015 akan diteruskan mengikut jadual pada bulan ini dan November nanti.



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86367
Promosi Pasang Astro 
PROMOSI : PEMASANGAN ASTRO
( BULANAN SERENDAH RM22.35 SAHAJA SELAMA 1 TAHUN )
TERENGGANU,KELANTAN, PAHANG
Siap Pasang ( complete sume hanya Bulanan Serendah RM22.35 Sahaja SELAMA 1 TAHUN )
1 DEKODER SET
1 OUTDOOR UNIT
1 WAYAR 20METER PERCUMA
*TIADA CAJ TERSEMBUNYI UNTUK PEMASANGAN
* WARANTI SELAMA ANDA MELANGGANG ASTRO UNTUK SET DEKODER
* HARGA PEMASANGAN BAYAR PADA INSTALLER SELEPAS DI PASANG
# Lebih murah & menjimatkan masa disamping menambah ilmu pengetahuan
# Dari rancangan kanak-kanak,hiburan,sukan,agama,sains & teknologi dalam 1 ASTRO
HUBUNGI- whatsapp CAL ke no - 01129206584

Waspada empat jenayah di masjid

Written By Unknown on Wednesday 30 September 2015 | 22:53


BESUT - Pihak polis mendedahkan empat jenis jenayah sering dilaporkan berlaku di kawasan masjid di daerah ini sejak tahun lepas, iaitu, curi tabung masjid, pecah cermin kereta, curi kenderaan membabitkan kereta dan motosikal serta curi peralatan masjid.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah memaklumkan, satu kejadian khianat direkodkan berlaku di daerah ini pada tahun lalu, iaitu kejadian baling al-Quran ke dalam tandas oleh lelaki kurang siuman di Masjid Kampung Limbongan.

Menurutnya, polis memandang serius kejadian jenayah di masjid sebagai salah satu usaha memperkasakan program 1 Masjid 1 Polis yang bermula di Besut pada beberapa tahun lalu.
"Polis berharap program 1 Masjid 1 Polis dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di masjid dan kawasan kariah.

"Melalui program ini, seorang pegawai atau anggota dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) di setiap masjid sebagai penghubung antara polis dan jawatankuasa masjid serta kariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan PPM Daerah Besut 2015 di Dewan Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam, yang turut dihadiri Pegawai Agama Daerah, Ahmad Azhar Harun, PPM serta 83 pengerusi jawatankuasa masjid di Besut.

Khaled menekankan bahawa, polis dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah dan semua masjid terlibat akan berusaha memperkasakan program 1 Masjid 1 Polis demi memastikan objektif menurunkan kadar indeks jenayah tercapai.

"Kita mahu mewujudkan persekitaran selamat serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada polis, sekali gus memastikan kehadiran polis sentiasa disedari.

"Namun kita harap semua pihak melipat gandakan peranan dalam usaha membanteras jenayah di masjid memandangkan kes berkenaan menunjukkan peningkatan iaitu 34 kes direkodkan pada Januari hingga Ogos tahun ini berbanding hanya 21 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Katanya, peningkatan kes berkenaan adalah sebanyak 13 kes, atau 38.2 peratus dan sehubungan itu, kerjasama semua pihak termasuk kariah masjid sangat diperlukan.

"Antara langkah dicadangkan adalah jawatankuasa masjid perlu menasihatkan kariah atau jemaah agar mengunci motosikal apabila diletakkan dalam kawasan masjid.

"Langkah lain adalah menasihatkan jemaah tidak tinggal barang berharga dalam kenderaan, memasang kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan sekitar masjid, kutip duit tabung setiap hari dan kunci serta simpan peralatan masjid di tempat selamat.

Larangan Guna Pembesar Suara Di Masjid Selain Untuk Azan Akan Diwarta Di Pulau Pinang


GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di Pulau Pinang akan diwartakan tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 Sept lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan beberapa isu penting antaranya tiada kompromi bagi laungan azan di masjid dan surau.

Sejumlah 10 aduan diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berkaitan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau dari Januari 2012 hingga Mei 2015 melibatkan pembesar suara di luar bagi bacaan dalam solat, zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman Al-Quran atau zikir sebelum azan.

Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan surat keputusan minit mesyuarat itu dan berkata ia tidak menjejaskan kesucian dan syiar Islam malah selaras dengan nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah.

Beliau berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara berdasarkan beberapa pertimbangan terutama untuk memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan hidup untuk individu serta masyarakat.

"Suka juga dinyatakan bahawa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang membuat keputusan ini setelah berbincang panjang lebar dan mempertimbangkan isu ini dari pelbagai sudut.

"Isu itu dibawa ke mesyuarat berkenaan setelah Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menerima beberapa aduan daripada masyarakat Islam sendiri yang tidak tahan dengan bunyi bising pembesar suara yang dipasang dengan volume yang sangat kuat," katanya.

Wan Salim berkata proses pewartaan larangan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan iaitu ia akan dibawa kepada Jabatan Penasihat Undang-undang Negeri dan mesyuarat exco kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum dimohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata JHEAIPP akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada ahli-ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid seluruh negeri ini mengenai perkara itu agar mereka dapat menjelaskan kepada masyarakat Islam di qaryah masing-masing.

"Semoga dengan cara sedemikian isu itu tidak disalah faham oleh orang ramai dan tidak menimbukan kekecohan yang berpanjangan," katanya.

-- BERNAMA

Tempat penjaja berniaga akan diselaras

Written By Unknown on Monday 28 September 2015 | 15:52



BESUT - Kerajaan negeri Terengganu akan menyelaraskan tempat berniaga penjaja bagi memastikan urusan perniagaan mereka tidak tergendala walaupun semasa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, kerajaan sedar masalah dihadapi penjaja di beberapa daerah seperti kesesakan, kekurangan pelanggan dan banjir.

"Kerajaan negeri akan membantu agar penjaja dapat meraih pendapatan baik untuk menyara keluarga," katanya pemberita selepas mengadakan lawatan mengejutke  Pasar Jerteh di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perunding Penjaja Kecil peringkat negeri.

Katanya, antara langkah penyelarasan itu adalah menetapkan jenis produk perniagaan di tempat tertentu.

"Kadang kala terdapat peniaga yang menjual kuih di gerai menjual ikan kering atau sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengerusi persatuan penjaja di setiap daerah supaya memantau dan mengambil tahu masalah dihadapi para penjaja untuk dibawa ke peringkat atasan. - Bernama

Imam meninggal dunia ketika tahiyat akhir

Written By Unknown on Thursday 24 September 2015 | 19:32


SHAH ALAM - Seorang Imam dari Masjid Kampung Temeris, di Kuala Pilah Negeri Sembilan meninggal dunia ketika tahiyat akhir solat Sunat Aidiladha pagi tadi.

A. Karim Ismail, 66, yang mengimamkan solat sunat tersebut dikatakan batuk sebelum rebah pada tahiyat akhir solat itu.

Kejadian  berlaku kira-kira jam 8:30 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah stesen televisyen tempatan, anak lelaki imam tersebut yang dikenali sebagai Amran berkata, beberapa jemaah membantu mengangkat bapanya yang sudah tidak sedarkan diri dan kemudian membawanya ke hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun doktor yang merawat ayah mengesahkan bahawa ayah sudah meninggal dunia," katanya.

JPAM Terengganu siap siaga

Written By Unknown on Wednesday 23 September 2015 | 03:37

Muhammad Pehimi dan Adam (dua kanan) ketika merasmikan jetski di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Besut di Jertih.

JERTIH -  JPAM Terengganu melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir musim tengkujuh dengan meningkatkan latihan kemahiran hampir 3,000 sukarelawan JPAM di negeri ini.

Pengarahnya,  Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata,  JPAM  telah mengadakan pelbagai latihan sejak awal September lalu membabitkan anggota sukarela jabatan di semua daerah.

Menurutnya, kursus yang dijalankan antaranya seperti menyelamat di air, pengendalian bot dan pelbagai latihan pertolongan cemas lain.

“Kita turut galakkan JPAM daerah melakukan latihan di peringkat daerah masing-masing  seperti  latihan kemahiran menyelamat  dan memindahkan mangsa banjir  pelbagai kategori seperti warga emas, obesiti, bayi dan OKU.

“JPAM  di setiap daerah juga turut diminta mengemas kini senarai pusat pemindahan di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jet Ski dan treler kepada JPAM Besut di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Besut di bandar Jertih yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Adam berkata lagi, sekiranya kejadian banjir besar atau luar biasa berlaku di negeri ini, pihaknya akan mengikut prosedur standard operasi (SOP) iaitu akan memohon bantuan daripada JPAM negeri berdekatan.

Sementara itu menyentuh mengenai penyerahan jet ski kepada JPAM Besut, Adam berkata, Besut satu-satunya di negeri ini  yang menerima kemudahan itu daripada Ibu Pejabat  JPAM bagi kegunaan menyelamat di pantai.

Menurutnya, operasi bot tersebut lebih kepada peranan di pantai iaitu untuk anggota JPAM yang bertugas di menara penyelamat di pantai Bukit Keluang.

“Jet ski amat diperlukan di situ khususnya untuk tugas menyelamat sekiranya ada kejadian pengunjung  yang lemas memandangkan keadaan ombak di situ menyukarkan anggota untuk berenang atau menggunakan bot untuk melaksana tugas menyelamat,” katanya.

Manakala Muhammad Pehimi memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh JPAM Besut dan keseluruhan JPAM di negeri ini.

Menurutnya,  JPAM dekat dengan hati masyarakat apabila sebarang kes termasuk kemalangan atau menangkap haiwan liar, pasukan itu menjadi pilihan utama untuk diminta bantuan.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anggota JPAM dalam menghulurkan bantuan amat dihargai masyarakat,” katanya dan menyifatkan penyerahan jet ski akan memantapkan lagi tugas dan peranan JPAM di daerah ini.

Gambar Gambar Remaja Mati Lemas Di Lata Tembakah

Written By Unknown on Tuesday 22 September 2015 | 21:55

Jertih: Remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui lemas ketika mandi bersama dua sepupunya di Lata Tembakah, Hulu Besut, pagi tadi.

Mayat mangsa, Mohd Najib Kamil dari Kampung Bukit Payung, Jertih, ditemui di dasar air terjun pada 11.23 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa bersama dua sepupunya datang ke kawasan perkelahan untuk mandi dan remaja terbabit yang dipercayai tidak tahu berenang terjun sebelum tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Penolong Penguasa Bomba Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada 10.55 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan mayat mangsa ditemui pada 11.23 pagi di dasar air terjun tidak jauh dari lokasi mangsa mandi," katanya.





Pesta tangkap tikus berhasil

Written By Unknown on Saturday 19 September 2015 | 21:17


HULU BESUT - Penduduk Kampung Kayu Kelat di sini, menjadikan gotong-royong menangkap tikus sebagai pesta dan acara setiap musim menanam padi.

Serangan tikus sawah atau nama saintifiknya Rattus Argentiventer di kawasan penanaman padi di daerah ini, menjadi antara punca petani mengalami kerugian apabila gagal menemui keseluruhan padi yang diusahakan.

Pengerusi JKKK, Mohd Yusof Bidi berkata, pesta menangkap dan membunuh tikus sawah sudah menjadi tradisi penduduk sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, lebih meriah apabila pihaknya menyediakan hadiah kepada penduduk yang berjaya menangkap tikus dengan jumlah terbanyak dalam acara yang diadakan pada waktu malam.

“Pesta seperti ini akan hidupkan semula kemeriahan di kampung  tradisional yang rata-rata penduduk pesawah.

“Ia secara tak langsung, tarik penyertaan lebih ramai penduduk termasuk golongan muda, sekali gus atasi masalah serangan tikus sawah yang dihadapi pesawah,” katanya.

Baru-baru ini, 50 penduduk berjaya menangkap 470 tikus sawah yang kemudiannya dipukul dalam acara yang bermula jam 9 hingga 11 malam di sawah kampung itu.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang juga anak jati kampung itu, Badrul Hisham Mohd turut memeriahkan pesta.

Kata Mohd Yusof, serangan tikus biasanya bermula sebaik sahaja benih mula disemai dan haiwan perosak itu gemar memakan biji benih yang sedang bercambah mengakibatkan tumbesaran padi terbantut.

“Serangan kedua berlaku ketika padi sedang bunting sementara menunggu tempoh untuk dituai.

“Ketika ini tikus akan gigit pangkal padi untuk makan bahagian umbut dan biji-bijian muda,” katanya.

Katanya, gotong-royong menangkap haiwan berkumpulan sesuai dilakukan pada waktu malam kerana ia lazimnya menyerang padi pada waktu malam.

Tambahnya, tikus boleh menyebabkan petani menanggung kerugian besar jika ancaman tikus itu tidak dikawal dan dibasmi dengan bersungguh-sungguh.

“Petani tak boleh harap kepada pemangsa seperti burung hantu semata-mata, kerana setiap burung hantu hanya mampu makan tiga ekor tikus setiap malam, sementara pengguna racun perosak tak berkesan sangat.

“Sebab tulah.. dengan cara kami bermuafakat perangi haiwan itu ia banyak bantu kerana dalam satu malam hampir 500 ekor tikus berjaya dibunuh,” katanya.

5 kenderaan terbakar di Besut

Written By Unknown on Friday 18 September 2015 | 22:43


BESUT - Lima kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Rumah Kos Rendah 2, Kampung Raja, di sini semalam.

Empat daripada lima kenderaan itu adalah dua kereta Perodua Kancil dan dua motosikal yang berada berhampiran kawasan rumah berkenaan turut terbakar.

Difahamkan, kenderaan 4x4 dan motosikal terbabit berada dalam kawasan garaj kereta seorang lelaki berusia 20-an, manakala dua Perodua Kancil yang dipercayai milik salah seorang rakannya pula diletakkan di bahu jalan.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 4.56 pagi sebelum satu jentera dari BBP Besut dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun sebaik tiba, pihaknya mendapati kesemua kenderaan berkenaan sudah terbakar dan usaha mengawal kebakaran segera dijalankan bagi mengelak api merebak ke kawasan kediaman.

“Api berjaya dikawal lima minit kemudian dan hasil pemeriksaan mendapati dua Perodua Kancil terbakar 50 peratus manakala kenderaan 4x4 jenis Isuzu Dimax pula mengalami kerosakan hampir 60 peratus,” katanya.

Mohd Zailani berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dengan jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kejadian itu kemungkinan akibat perbuatan khianat, namun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenainya.

Katanya, forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menyiasat punca kejadian.

Warga emas jual buku agama sara hidup

Written By Unknown on Thursday 17 September 2015 | 22:41


KOTA BHARU- Kesempitan hidup sepasang suami isteri warga emas dari Bachok ini memaksa mereka berjalan kaki beberapa kilometer sehari untuk menjual buku-buku agama dan ilmiah walaupun ada kalanya hanya satu atau dua buah sahaja terjual.

Ab Rahman Daud, 66, dan isteri, Zahrah Jusoh, 60an ditemui wartawan Sinar Harian ketika singgah di sebuah kedai makan di Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Ab Rahman berkata, dia dan isteri sudah lima tahun menjual buku bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga selepas tidak lagi mampu untuk melakukan kerja-kerja berat akibat masalah kesihatan yang dihadapi.

“Hanya ini pilihan yang kami ada, jual buku, walaupun untung hanya antara RM2 hingga RM3 sebuah, tetapi sekurang-kurangnya kami ada pendapatan  menampung keperluan harian,” katanya.

Menurutnya yang juga bapa kepada lapan anak, keadaan dirinya selepas terlibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu yang mengakibatkan tangan kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan dia nekad dengan pekerjaan itu walaupun purata pendapatannya sekitar RM15 hingga RM20 sehari.

Katanya, bagaimanapun jika nasib mereka baik, pendapatan diperoleh melebihi biasa terutama apabila ada dalam kalangan orang ramai yang hanya bersedekah kepadanya tanpa mengambil buku yang dijual.

“Merata tempat pakcik dan makcik pergi untuk menjual buku- buku ini, bukan sahaja sekitar Bachok, malah Tanah Merah pun pernah pak cik sampai, pak cik pergi dengan bas, bila sampai di sesuatu lokasi pak cik akan berjalan mencari tempat-tempat tumpuan untuk menawarkan buku ini,” katanya.

Dia yang menghidap kencing manis sejak lima tahun lalu berkata, berbekalkan modal RM50 dia akan mendapatkan buku-buku tersebut yang dibeli dari sebuah kedai buku di bandar ini, sebelum dijual kepada orang ramai.

Menurutnya, dia menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebanyak RM300 sebulan dan wang tersebut digunakan untuk menampung persekolahan dua anaknya yang kini di Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.

Nyaris maut terjatuh dari tingkat 2


KEMAMAN - Seorang budak perempuan berusia 6 tahun nyaris maut apabila terjatuh dari balkoni tingkat dua rumah rakannya dalam kejadian di Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Kampung Fikri, di sini, lebih kurang jam 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Syuhada Syura Abdullah, sedang bermain dengan beberapa rakannya bersama dua lagi adik-beradiknya yang lain yang berumur 4 dan 7 tahun di balkoni rumah berkenaan.

Ibu mangsa, Suziana Khalid, 26, berkata, bagaimanapun anak keduanya itu yang bersekolah di Tadika Kemas Kampung Fikri mahu menyandar pada pagar balkoni tanpa menyedari dua tiang besi pagar itu telah tiada kerana tercabut.

“Kebetulan waktu tu saya balik kerja awal dan sebaik saya masuk ke dalam rumah kami di tingkat tiga di blok yang lain, tiba-tiba ada jiran datang panggil dan bagitahu anak jatuh dari tingkat dua.

“Saya yang panik cepat-cepat turun dan saya nampak ramai jiran kerumun serta kibas anak saya yang tak sedarkan diri. Tapi saya sangat syukur.. lepas saya panggil namanya berulang kali, dia buka mata. Dia pitam sekejap saja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Geliga Jambatan.

Berikutan itu, Syuhada segera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dan hasil imbasan x-ray mendapati terdapat kesan retak pada tempurung kepala di bahagian belakang.

Syuhada kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kata Suziana, sejak insiden tidak diduga itu anaknya kerap muntah dan mengalami pening dipercayai akibat gegaran pada kepala yang dialami.

Nyaris lemas di Pantai Bukit Keluang


BESUT - Tindakan pantas sepasukan anggota JPAM Besut berjaya menyelamatkan dua rakan baik yang nyaris lemas di Pantai Bukit Keluang dekat sini, kelmarin.

Pegawainya, Suhaimi Awang berkata, kejadian itu disedari anggotanya yang bertugas di menara tinjau Pantai Bukit Keluang kira-kira jam 4.21 petang.

Menurutnya, seorang anggotanya  di menara tinjau berkenaan ternampak kedua-dua mangsa terkapai-kapai di permukaan air kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.

“Lima anggota JPAM yang bertugas pada waktu itu, termasuk seorang bersedia di pantai, berenang ke arah mangsa.

“Namun keadaan ombak besar dianggarkan setinggi semeter itu menolak anggotanya ke tepi pantai ketika usaha menyelamat dilakukan, sekali gus menyukarkan pihak kami untuk pergi mendapatkan mangsa,” katanya.

Suhaimi berkata lagi, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit berenang sebelum berjaya mendapatkan kedua-dua mangsa lemas itu dengan seorang daripada mangsa hampir tenggelam.

Katanya, walaupun berdepan kesukaran namun anggotanya berjaya membawa kedua-dua mangsa yang masih dalam keadaan sedar dan tidak bermaya ke pantai.

“Mangsa bernasib baik kerana kejadian yang menimpa mereka disedari anggota bertugas dan segera menghulurkan bantuan.

“Jika terlambat sedikit, kami percaya kejadian lebih buruk akan menimpa mereka berdua,” katanya.

Tambah Suhaimi, kedua-dua mangsa adalah rakan baik yang dikenali sebagai Wan Hanif Ruslan dari Kampung Tok Saboh dan Che Aidilazramukmin Che Md Yahya dari Kampung Nail, Kuala Besut.

Menurutnya, mereka yang dianggarkan berusia sekitar 11 dan 12 tahun pergi ke pantai itu sendirian dan punca kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Hanif dihanyutkan arus ke tengah laut dan lemas, sementara Che Aidilazramukmin cuba menghulurkan bantuan.

“Disebabkan keadaan ombak besar menyebabkan Che Aidilazramukmin turut lemas dan tidak berjaya menghampiri rakannya,” katanya.

Menurutnya, selepas memberi bantuan dan rawatan awal, kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan.

7 murid diramal masih hidup

Written By Unknown on Sunday 13 September 2015 | 21:13


GUA MUSANG - Untuk seketika, keluarga tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu mampu menarik nafas lega setelah dimaklumkan bahawa kesemua mangsa dipercayai masih hidup.

Makluman berkenaan diberikan oleh bomoh Orang Asli yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor, Perak, setelah mengetuai upacara sewang pada malam kedua di Kampung Pos Tohoi, malam kelmarin.

Keyakinan keluarga mangsa adalah berdasarkan bomoh berusia lingkungan 50-an itu dianggap bukan calang-calang bomoh dan telah banyak berjasa kepada masyarakat Orang Asli.

Upacara sewang yang turut membabitkan seramai 45 anggota PGA dari Kem Bidor diteruskan untuk malam ketiga, semalam, bagi mendapatkan petunjuk baharu dalam usaha mencari ketujuh-tujuh murid berkenaan.

Seminggu kebelakangan ini, keluarga mangsa gelisah kerana terkenang anak masing-masing yang tidak diketahui sama ada hilang di kawasan hutan atau di tempat lain.

Sungguhpun diramal masih hidup, keadaan sebenar ketujuh murid berkenaan belum diketahui dan keluarga masing-masing terus berharap pasukan mencari dapat menemui mereka.

Mungkin lebih jelas pada malam ketiga

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, upacara sewang malam ketiga mungkin memberi petunjuk lebih jelas berikutan telah ada sedikit petunjuk pada malam kedua upacara itu dilaksanakan.

"Kita telah habis usaha untuk kesan tujuh murid itu dan mungkin petunjuk lebih jelas apabila bomoh membangkitkan semangat pada sewang malam terakhir, kerana ketika itu banyak pemujaan akan dilakukan.

"Ramalan anak mereka masih hidup sekurang-kurangnya memberi semangat baharu kepada keluarga," katanya.

Mampu berdikari dalam hutan

Selain ramalan upacara sewang, pemandu pelancong berpengalaman luas meneroka gua dan hutan di Gua Musang turut mempercayai tujuh murid Orang Asli terbabit masih hidup.

Sebilangan pemandu pelancong percaya, walaupun sudah lebih 20 hari murid-murid berkenaan hilang, namun mereka dipercayai dapat berdikari dan meneruskan hidup kerana kebiasaan tinggal di kawasan hutan bersama keluarga.

Salah seorang pemandu pelancong, Mohd Tahir Mat Saman, 55, yang berpengalaman lebih 30 tahun beranggapan kebanyakan masyarakat Orang Asli telah diajarkan ilmu hutan sejak kecil.

"Mereka arif mengenai kawasan hutan dan boleh dianggap pelik jika Orang Asli sesat dalam hutan. Kawasan hutan ini merupakan tempat mereka.

"Saya rasa masyarakat Orang Asli pasti telah melatih anak-anak mereka untuk tinggal dalam kawasan hutan sejak kecil lagi," katanya.

Dalam pada itu Mohd Tahir tetap berharap agar misteri kehilangan jurutera Petronas di Pulau Kendong, dekat Pos Pulat, di sini, pada 2004 dan terus menjadi misteri sehingga kini tidak berulang.

Sementara itu, Sabri Zul, 34, menganggap kehilangan serentak tujuh murid Orang Asli berkenaan pada hari sama sebagai kejadian pelik dan penuh misteri berikutan mereka gagal dikesan sehingga kini.

Berpengalaman selama 16 tahun sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Sungai Relau, Pahang, Sabri pernah terlibat dalam operasi mencari seorang penuntut universiti tempatan yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan pada 2008.

"Pelajar berkenaan, Nur Umaisarah Sameaun merupakan seorang gadis Melayu yang tiada kepakaran ilmu hutan...tetapi dia dapat bertahan selama hampir 20 hari sebelum ditemui pendaki dan anggota penyelamat.

"Kerana itu saya percaya, tujuh murid Orang Asli tersebut masih hidup kerana mereka sudah biasa dengan persekitaran hutan. Ikut pengalaman lepas, orang yang terperangkap selama 20 tahun dalam hutan pun berjaya ditemui walaupun dalam keadaan tidak bermaya, lapar dan fizikal kurus kering," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli, iaitu, Mirsudiar Alui, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7, melarikan diri dari asrama SK Pos Tohoi kerana takut dikenakan tindakan atas kesalahan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Isteri mudanya ada tiga suami


BACHOK - Seorang lelaki berusia 57 tahun bingung apabila mendakwa menjadi mangsa ‘permainan cinta’ seorang wanita muda yang dikahwininya di Selatan Thailand, dua tahun lalu.

Hasrat untuk mengecap bahagia bersama isteri keduanya itu musnah selepas dia mendapat tahu wanita itu masih belum bercerai dengan suami pertamanya.

Bapa kepada tiga anak itu mendakwa mengahwini isteri keduanya yang berusia 27 tahun ketika itu di Majlis Agama Islam Narathiwat, apabila wanita itu mendakwa dia masih anak dara.

Dia bertemu wanita itu yang bekerja di Bernas, Jitra, Kedah dan mengambil keputusan untuk mengahwininya di Selatan Thailand pada 12 September 2013, memandangkan wanita itu menggesanya berbuat demikian dan enggan bernikah di Malaysia.

“Kalau boleh memang kami nak kahwin di sini, tetapi dia menggesa saya untuk kahwin cepat di Selatan Thailand. Bila saya nak daftar kahwin di sini, dia banyak berdolak dalik sehingga saya tahu dia pernah berkahwin sebelum ini dan masih belum bercerai secara sah dengan suami pertamanya.

“Kami hanya sempat bersama seminggu sebelum rahsia statusnya yang belum bercerai secara sah dengan suaminya sebelum ini, terbongkar.

“Saya suruh dia fasak dengan suami pertamanya dahulu, sebab saya rasa pernikahan kami di Siam tak sah kerana dia bohong tentang statusnya,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia menunggu wanita itu setahun lebih dan dalam tempoh itu dia sering berulang alik bertemu wanita itu di Kedah, selain menghulurkan wang belanja bulanan.

Namun, penantiannya hampa apabila Julai lalu, dia menerima surat daripada Mahkamah Rendah Syariah Kubang Pasu yang memerintahkannya hadir untuk mengesahkan perceraian taklik.

“Saya dah habiskan banyak untuk dia kira-kira RM26,000 tetapi akhirnya saya terima surat perceraian taklik daripada wanita itu. Saya ke mahkamah pada 2 September lalu tetapi dia tak hadir. Saya pergi ke rumah dia, tetapi ibunya beritahu wanita itu sudah berkahwin lain lima bulan lalu.

“Macam mana dia boleh kahwin lain, sedangkan dia belum rasmi bercerai dengan suami pertamanya. Saya dapat tahu dia kahwin dengan suami barunya orang Negeri Sembilan di Selatan Thailand.

“Macam mana pula dengan pernikahan kami di Siam.. kalau ia sah.. saya pun belum ceraikan dia lagi. Kalau macam ni.. dia dah ada tiga suami dalam satu masa,” katanya.

Disebabkan rasa tertipu dengan ‘permainan cinta’ wanita itu, lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bachok pada 3 September lalu, sebagai rujukan untuk peguam dan mahkamah.

Jangkitan HIV di kalangan penagih menurun

Written By Unknown on Saturday 12 September 2015 | 11:33


BESUT - Kes jangkitan HIV/Aids di kalangan penagih dadah suntikan di Terengganu menunjukkan penurunan dari 292 kes pada tahun 2010 kepada 118 kes pada tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia merupakan satu kejayaan melalui usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) termasuk mengadakan rawatan melalui pemberian methadone di enam buah hospital dan 33 buah pusat kesihatan di seluruh negeri kepada para penagih yang mendapatkan rawatan.

Katanya, sejak mencatat kes HIV pertama di Terengganu pada tahun 1988 sehinggalah Jun tahun ini, sebanyak 9,433 kes HIV telah didaftarkan di negeri ini.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,173 kes berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah suntikan, manakala 856 kes daripada risiko seksual," katanya selepas melancarkan Kembara Sihat Tanpa Aids 2015 dengan tema "Eksplorasi Menuju Sifar" di perkarangan Masjid Kampung Lak Lok, Jerteh di sini hari ini.

Ucapannya dibaca oleh Adun Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar.

Seramai 312 peserta Jabatan Kesihatan Negeri dengan menggunakan 74 buah kenderaan mengambil bahagian dalam eksplorasi sejauh 423 kilometer dari Jerteh ke Lumut, Perak.

Menurut Ahmad Razif, pada masa ini terdapat seramai 2,400 penagih dadah yang masih menjalani rawatan melalui pengambilan methadone di seluruh negeri ini.

Namun begitu katanya, jangkitan kes HIV akibat risiko seksual menunjukkan peningkatan berikutan sebanyak 83 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding hanya 55 kes pada tahun 2010.

Katanya, justeru itu tindakan akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan mengadakan aktiviti menyedarkan penduduk terutama para remaja dan anak muda dengan mengalakkan mereka menjalani kehidupan yang sihat.

"Remaja akan diberikan pendedahan bagi menjauhkan aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dengan penglibatan sepenuhnya semua jabatan dan pihak berkuasa bagi mengelakkan masalah HIV/ Aids tidak meningkat di Terengganu," katanya. - Bernama

Dua kanak-kanak dipercayai lemas

Written By Unknown on Monday 7 September 2015 | 21:38


KOTA BHARU -   Dua kanak-kanak dipercayai lemas dalam kejadian di Tanjung Kuala Pantai Sabak di sini malam ini.
 
Mangsa Muhammad Faiz Wafiyuddin Amalhisyam,10 dan Muhammad Irfan Ismail, 13 tahun dipercayai bermain di kawasan berkenaan sambil mengutip kerang dan dipercayai hanyut selepas itu.
 
Operasi menyelamat mangsa diketuai oleh Ketua Balai Bomba Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan bersama lapan anggota Penyelamat Di Air serta tiga anggota unit EMRS Kota Bharu.
 
Mayat Muhammad Irfan, telah dijumpai lebih sejam kemudian, manakala Muhammad Faiz  masih belum ditemui.
 
Mohd Fakri berkata, operasi menyelamat bermula sekitar jam 7 malam dan ditangguhkan sekitar jam 10 malam.
 
"Operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula‎ esok dan anggota masih berada di lokasi meninjau keadaan semasa,"katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya mayat mangsa yang ditemui dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

‘Spiderman’ panjat kereta polis

Written By Unknown on Sunday 6 September 2015 | 22:20


KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang melalui Jalan Budiman, di sini, digemparkan dengan gelagat membahayakan seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan, pagi semalam.

Dalam insiden jam 7.20 pagi, kehadiran lelaki berusia lingkungan 20-an itu menarik perhatian orang ramai terutamanya ibu bapa yang menghantar anak ke SK Seri Budiman dan SMKA Sheikh Abdul Malek, di sini, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan tersebut.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, lelaki dipercayai berasal dari kampung berhampiran sebelum itu dilihat bermain di bahu jalan di hadapan pintu pagar SK Seri Budiman.

“Bagaimanapun, tindakan agresifnya sepak kon yang ada di tepi jalan hingga ada yang terkena penunggang motosikal telah timbulkan kekecohan.

“Orang ramai yang jadi mangsa keadaan apabila kon yang disepak terkena kenderaan mereka cuba belasah lelaki tu mungkin mereka tak sangka orang tu tak siuman.

“Tapi.. situasi tegang itu berjaya diredakan oleh beberapa orang yang ada di lokasi berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Jelasnya, bapa kepada lelaki itu yang tiba beberapa minit kemudian turut gagal memujuknya sehinggalah akhirnya dia terpaksa minta bantuan mantan Pegawai Pembangunan Dun Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh.

“Bapanya terpaksa pergi ke rumah Datuk Che Mat untuk minta bantuan kerana anaknya memaklumkan yang dia hanya akan balik ke rumah dengan menaiki kereta Datuk Che Mat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Che Mat ketika dihubungi berkata, lelaki tersebut merupakan jirannya dan dua hari sebelum ini mereka ada bersembang selepas pulang solat dari Masjid Kampung Nibong, di sini.

“Saya kenal dia dan keluarganya kerana kami berjiran, saya tahu dia memang ada masalah mental, cuma sebelum ini dia tak pernah ganggu ketenteraman awam.

“Jadi, tadi (semalam) sebaik dapat tahu yang dia  di luar kawalan hingga ganggu orang awam di situ, saya terus ke lokasi untuk memujuknya, lebih-lebih lagi bapanya memaklumkan yang dia hanya akan balik ke rumah dengan saya.

“Alhamdulillah, dia akur dengan arahan saya meskipun pada mulanya dia bertindak agresif dengan memanjat bumbung kereta saya dan membuat aksi ala 'Spiderman' tapi akhirnya setelah dipujuk dia turun dan terus masuk dalam kereta," katanya.

Kata beliau, sebaik lelaki itu masuk dalam kereta dia terus menghantar lelaki tersebut pulang ke rumah kerana bimbang dia akan bertindak lebih agresif yang boleh jejaskan keselamatan dirinya dan orang awam di situ.

Beruk jantan gemparkan jemaah kelas agama‎


JITRA - Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak di sini.

Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pukul 9 pagi semalam ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.

Tenaga pengajar pondok tersebut, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata, beruk jantan tersebut datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tersebut tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.

Beliau berkata, haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.

"Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.

"Kemudian haiwan tersebut memanjat badan guru agama yang sedang mengajar.

Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui di pondok itu hari ini.    

Ummi Kalsom berkata, ia merupakan kejadian pertama sejak pondok itu sejak dibuka pada 2001 dan ia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.

Beliau berkata, orang ramai kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) untuk menangkap haiwan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.

"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya.

Sementara itu beruk jantan, yang ditempatkan di Jpam Kota Setar buat sementara waktu sebelum ini, telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut. - Bernama
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger