Home » » 7 murid diramal masih hidup

7 murid diramal masih hidup

Written By Unknown on Sunday, 13 September 2015 | 21:13


GUA MUSANG - Untuk seketika, keluarga tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu mampu menarik nafas lega setelah dimaklumkan bahawa kesemua mangsa dipercayai masih hidup.

Makluman berkenaan diberikan oleh bomoh Orang Asli yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor, Perak, setelah mengetuai upacara sewang pada malam kedua di Kampung Pos Tohoi, malam kelmarin.

Keyakinan keluarga mangsa adalah berdasarkan bomoh berusia lingkungan 50-an itu dianggap bukan calang-calang bomoh dan telah banyak berjasa kepada masyarakat Orang Asli.

Upacara sewang yang turut membabitkan seramai 45 anggota PGA dari Kem Bidor diteruskan untuk malam ketiga, semalam, bagi mendapatkan petunjuk baharu dalam usaha mencari ketujuh-tujuh murid berkenaan.

Seminggu kebelakangan ini, keluarga mangsa gelisah kerana terkenang anak masing-masing yang tidak diketahui sama ada hilang di kawasan hutan atau di tempat lain.

Sungguhpun diramal masih hidup, keadaan sebenar ketujuh murid berkenaan belum diketahui dan keluarga masing-masing terus berharap pasukan mencari dapat menemui mereka.

Mungkin lebih jelas pada malam ketiga

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, upacara sewang malam ketiga mungkin memberi petunjuk lebih jelas berikutan telah ada sedikit petunjuk pada malam kedua upacara itu dilaksanakan.

"Kita telah habis usaha untuk kesan tujuh murid itu dan mungkin petunjuk lebih jelas apabila bomoh membangkitkan semangat pada sewang malam terakhir, kerana ketika itu banyak pemujaan akan dilakukan.

"Ramalan anak mereka masih hidup sekurang-kurangnya memberi semangat baharu kepada keluarga," katanya.

Mampu berdikari dalam hutan

Selain ramalan upacara sewang, pemandu pelancong berpengalaman luas meneroka gua dan hutan di Gua Musang turut mempercayai tujuh murid Orang Asli terbabit masih hidup.

Sebilangan pemandu pelancong percaya, walaupun sudah lebih 20 hari murid-murid berkenaan hilang, namun mereka dipercayai dapat berdikari dan meneruskan hidup kerana kebiasaan tinggal di kawasan hutan bersama keluarga.

Salah seorang pemandu pelancong, Mohd Tahir Mat Saman, 55, yang berpengalaman lebih 30 tahun beranggapan kebanyakan masyarakat Orang Asli telah diajarkan ilmu hutan sejak kecil.

"Mereka arif mengenai kawasan hutan dan boleh dianggap pelik jika Orang Asli sesat dalam hutan. Kawasan hutan ini merupakan tempat mereka.

"Saya rasa masyarakat Orang Asli pasti telah melatih anak-anak mereka untuk tinggal dalam kawasan hutan sejak kecil lagi," katanya.

Dalam pada itu Mohd Tahir tetap berharap agar misteri kehilangan jurutera Petronas di Pulau Kendong, dekat Pos Pulat, di sini, pada 2004 dan terus menjadi misteri sehingga kini tidak berulang.

Sementara itu, Sabri Zul, 34, menganggap kehilangan serentak tujuh murid Orang Asli berkenaan pada hari sama sebagai kejadian pelik dan penuh misteri berikutan mereka gagal dikesan sehingga kini.

Berpengalaman selama 16 tahun sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Sungai Relau, Pahang, Sabri pernah terlibat dalam operasi mencari seorang penuntut universiti tempatan yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan pada 2008.

"Pelajar berkenaan, Nur Umaisarah Sameaun merupakan seorang gadis Melayu yang tiada kepakaran ilmu hutan...tetapi dia dapat bertahan selama hampir 20 hari sebelum ditemui pendaki dan anggota penyelamat.

"Kerana itu saya percaya, tujuh murid Orang Asli tersebut masih hidup kerana mereka sudah biasa dengan persekitaran hutan. Ikut pengalaman lepas, orang yang terperangkap selama 20 tahun dalam hutan pun berjaya ditemui walaupun dalam keadaan tidak bermaya, lapar dan fizikal kurus kering," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli, iaitu, Mirsudiar Alui, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7, melarikan diri dari asrama SK Pos Tohoi kerana takut dikenakan tindakan atas kesalahan mandi di sungai tanpa kebenaran.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger