Pesta tangkap tikus berhasil
Written By Unknown on Saturday, 19 September 2015 | 21:17
HULU BESUT - Penduduk Kampung Kayu Kelat di sini, menjadikan gotong-royong menangkap tikus sebagai pesta dan acara setiap musim menanam padi.
Serangan tikus sawah atau nama saintifiknya Rattus Argentiventer di kawasan penanaman padi di daerah ini, menjadi antara punca petani mengalami kerugian apabila gagal menemui keseluruhan padi yang diusahakan.
Pengerusi JKKK, Mohd Yusof Bidi berkata, pesta menangkap dan membunuh tikus sawah sudah menjadi tradisi penduduk sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, lebih meriah apabila pihaknya menyediakan hadiah kepada penduduk yang berjaya menangkap tikus dengan jumlah terbanyak dalam acara yang diadakan pada waktu malam.
“Pesta seperti ini akan hidupkan semula kemeriahan di kampung tradisional yang rata-rata penduduk pesawah.
“Ia secara tak langsung, tarik penyertaan lebih ramai penduduk termasuk golongan muda, sekali gus atasi masalah serangan tikus sawah yang dihadapi pesawah,” katanya.
Baru-baru ini, 50 penduduk berjaya menangkap 470 tikus sawah yang kemudiannya dipukul dalam acara yang bermula jam 9 hingga 11 malam di sawah kampung itu.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang juga anak jati kampung itu, Badrul Hisham Mohd turut memeriahkan pesta.
Kata Mohd Yusof, serangan tikus biasanya bermula sebaik sahaja benih mula disemai dan haiwan perosak itu gemar memakan biji benih yang sedang bercambah mengakibatkan tumbesaran padi terbantut.
“Serangan kedua berlaku ketika padi sedang bunting sementara menunggu tempoh untuk dituai.
“Ketika ini tikus akan gigit pangkal padi untuk makan bahagian umbut dan biji-bijian muda,” katanya.
Katanya, gotong-royong menangkap haiwan berkumpulan sesuai dilakukan pada waktu malam kerana ia lazimnya menyerang padi pada waktu malam.
Tambahnya, tikus boleh menyebabkan petani menanggung kerugian besar jika ancaman tikus itu tidak dikawal dan dibasmi dengan bersungguh-sungguh.
“Petani tak boleh harap kepada pemangsa seperti burung hantu semata-mata, kerana setiap burung hantu hanya mampu makan tiga ekor tikus setiap malam, sementara pengguna racun perosak tak berkesan sangat.
“Sebab tulah.. dengan cara kami bermuafakat perangi haiwan itu ia banyak bantu kerana dalam satu malam hampir 500 ekor tikus berjaya dibunuh,” katanya.
Labels:
Semasa
Post a Comment