Home » » ‘Spiderman’ panjat kereta polis

‘Spiderman’ panjat kereta polis

Written By Unknown on Sunday, 6 September 2015 | 22:20


KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang melalui Jalan Budiman, di sini, digemparkan dengan gelagat membahayakan seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan, pagi semalam.

Dalam insiden jam 7.20 pagi, kehadiran lelaki berusia lingkungan 20-an itu menarik perhatian orang ramai terutamanya ibu bapa yang menghantar anak ke SK Seri Budiman dan SMKA Sheikh Abdul Malek, di sini, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan tersebut.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, lelaki dipercayai berasal dari kampung berhampiran sebelum itu dilihat bermain di bahu jalan di hadapan pintu pagar SK Seri Budiman.

“Bagaimanapun, tindakan agresifnya sepak kon yang ada di tepi jalan hingga ada yang terkena penunggang motosikal telah timbulkan kekecohan.

“Orang ramai yang jadi mangsa keadaan apabila kon yang disepak terkena kenderaan mereka cuba belasah lelaki tu mungkin mereka tak sangka orang tu tak siuman.

“Tapi.. situasi tegang itu berjaya diredakan oleh beberapa orang yang ada di lokasi berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Jelasnya, bapa kepada lelaki itu yang tiba beberapa minit kemudian turut gagal memujuknya sehinggalah akhirnya dia terpaksa minta bantuan mantan Pegawai Pembangunan Dun Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh.

“Bapanya terpaksa pergi ke rumah Datuk Che Mat untuk minta bantuan kerana anaknya memaklumkan yang dia hanya akan balik ke rumah dengan menaiki kereta Datuk Che Mat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Che Mat ketika dihubungi berkata, lelaki tersebut merupakan jirannya dan dua hari sebelum ini mereka ada bersembang selepas pulang solat dari Masjid Kampung Nibong, di sini.

“Saya kenal dia dan keluarganya kerana kami berjiran, saya tahu dia memang ada masalah mental, cuma sebelum ini dia tak pernah ganggu ketenteraman awam.

“Jadi, tadi (semalam) sebaik dapat tahu yang dia  di luar kawalan hingga ganggu orang awam di situ, saya terus ke lokasi untuk memujuknya, lebih-lebih lagi bapanya memaklumkan yang dia hanya akan balik ke rumah dengan saya.

“Alhamdulillah, dia akur dengan arahan saya meskipun pada mulanya dia bertindak agresif dengan memanjat bumbung kereta saya dan membuat aksi ala 'Spiderman' tapi akhirnya setelah dipujuk dia turun dan terus masuk dalam kereta," katanya.

Kata beliau, sebaik lelaki itu masuk dalam kereta dia terus menghantar lelaki tersebut pulang ke rumah kerana bimbang dia akan bertindak lebih agresif yang boleh jejaskan keselamatan dirinya dan orang awam di situ.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger