BERITA TERKINI

Husam digesa keluar dari PAS - Dewan Ulama

Written By Unknown on Tuesday 10 November 2015 | 04:59


SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Pusat menyarankan Datuk Husam Musa meninggalkan parti dan menyertai rakan-rakannya yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah), sekiranya beliau tidak lagi 'bersama' dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, tindakan tersebut adalah yang paling wajar dilakukan Husam berbanding berterusan mengkritik Hadi secara terbuka bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.
 
"Rakan-rakan beliau sudah tinggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, Datuk Husam pun sama seperti rakan-rakannya, dia tewas dalam pemilihan dulu.

"Kalau tak puas hati dengan Tok Guru (Abdul Hadi Awang) atau PAS, sepatutnya beliau sama-sama keluarlah mengasaskan Amanah. Tapi (Husam) tak (pula) keluar. Saya pun tak tahu apa strateginya," katanya kepada Antarapos.

Husam baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila mendakwa Hadi pernah mengakui mahu bekerjasama dengan Umno semasa krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.

ADUN Salor itu mengeluarkan kenyataan demikian dalam satu ceramah di Kota Bharu, Khamis lalu, selain mendakwa Hadi sendiri mengakui rancangannya itu semasa bersemuka dengan beberapa pemimpin parti.

Bagaimanapun, tegas Mahfodz, perkara yang dinyatakan Husam itu adalah fitnah kerana isu berkenaan tidak pernah dibincangkan kepimpinan parti.

"Perkara (bergabung dengan Umno) besar macam itu tak boleh dibuat berseorang, perlu dibawa dalam parti. Kalau dibawa dalam parti, mestilah sama ada melalui Majlis Syura, PAS Pusat atau Dewan Harian. Tapi benda itu tak ada," katanya lagi.

Husam dilihat kerap membuat teguran terbuka mutakhir ini, sama ada terhadap kepimpinan parti mahupun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Minggu lalu, bekas Naib Presiden PAS itu mengritik keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang menaikkan elaun wakil rakyat dan ahli pentadbiran, yang pada pandangan beliau tidak wajar dilakukan di kala situasi ekonomi kini yang menghimpit rakyat.

Walaupun dilihat kritikal terhadap PAS, namun Husam menegaskan bahawa dirinya tetap setia dengan perjuangan parti itu dan 'sebolehnya mahu kekal dalam PAS sehingga mati'.  

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pendirian Husam yang ingin kekal dalam parti itu bersangkut paut dengan lafaz bai'ah.

"Kerana bai'ah di Kelantan yang diketuai Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang telah mengusulkan satu bai'ah yang agak keras, negeri lain tak ada, iaitu bai'ah taklik.

"Mungkin kerana takut melanggar bai'ah itu, dia kekal di dalam PAS.. Dan saya rasa dia nak tunggu supaya diambil tindakan.. dengan pemecatannya itu dia akan terlepas daripada tanggungjawab bai'ah," ujarnya lagi sambil menambah, sebarang tindakan boleh dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya perkara berkenaan masih berterusan.

Koma selepas dipatuk ular

Written By Unknown on Monday 9 November 2015 | 20:23


KUALA BESUT - Dipatuk spesies ular tidak berbisa telah menyebabkan seorang wanita dari Kampung Beris Lampu, di sini, diserang sakit jantung sehingga tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 7.15 malam, Rabu lalu, ketika mangsa, Tuan Zaliana Tuan Gahani, 34, mahu membuka pintu pagar di halaman rumahnya untuk pergi membantu mengeluarkan wang pencen bapa mertuanya di sebuah bank, di sini.

Suami mangsa, Mohd Nasir Adam, 42, memberitahu, isterinya dipatuk pada kaki dan ketika kejadian, dia berada dalam kereta untuk keluar dari kawasan parkir dalam kediaman mereka.

Menurutnya, ketika itu dia terdengar Tuan Zaliana menjerit secara tiba-tiba lalu bergegas keluar dari kereta dan mendapati seekor ular melekat pada kaki isterinya itu.

"Isteri saya menendang beberapa kali sehingga ular itu terlepas dari kakinya. Pada mulanya saya tak tahu ular spesies apa yang patuk kaki isteri saya. Saya ingatkan ular berbisa dan terus berusaha menyedut keluar bisa ular dari kaki isteri.

"Ketika itu isteri saya masih dalam keadaan sedar. Saya bawa dia ke Unit Kecemasan Hospital Besut dan doktor mengesahkan dia dipatuk ular tak berbisa," katanya.

Katanya, pada mulanya dia berasa lega dengan maklumkan itu dan dia juga sempat menangkap hidup-hidup ular berkenaan untuk dibawa ke hospital serta ditunjukkan kepada doktor.

Tambah Mohd Nasir, pada masa sama dia berasa agak risau kerana kesihatan isterinya yang disahkan menghidap sakit jantung sejak 2011 itu terjejas dan dilihat semakin lemah akibar terkejut dengan kejadian berkenaan.

"Isteri saya terpaksa ditahan di wad untuk rawatan dan pada malam pertama, dia tidak sedarkan diri menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke HUSM Kubang Kerian pada keesokan harinya.

"Sehingga semalam keadaannya tidak banyak berubah. Hanya mampu gerakkan mata dalam keadaan tidak sedar. Keadaannya itu bukan kerana dipatuk ular, tetapi mungkin kerana terkejut dan saya harap dia akan cepat sembuh," katanya.

Amanah sedia 'selamatkan' Kelantan?


PASIR MAS - Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia menggantikan Pas mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di sini, malam tadi.

Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

"Sekarang hal PRU14 kita tak bincang lagi di negeri atau tempat mana, melainkan (Pilihan Raya Negeri) di Sarawak... kami akan cubalah untuk dapatkan kerusi bertanding di sana," katanya. - Bernama

Dap Mahu Jadikan Bekas Rakan Sekutu Seperti ‘Lembu Dicucuk Hidung’?


KUALA LUMPUR, 9 Nov – Dalam hubungan perkahwinan, istilah ‘gila talak’ biasanya merujuk kepada satu pasangan suami isteri yang telah pun berpisah tetapi salah satu pihak sentiasa menganggap bekas pasangannya masih bersama serta perlu menurut kehendak dan kemahuannya lagi.

Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Kesatuan Alumni Persatuan Mahasiswa Universti Malaya (PMUM), Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner, mungkin Itulah perumpamaan yang paling sesuai diberikan kepada parti Dap apabila bertindak mahu Pas mengikuti jejak langkah mereka yang mahu membuat undi menolak Bajet 2016.

Seterusnya, beliau turut menimbulkan persoalan bukankah Pas kini sudah menjadi bekas rakan sekutu Dap buat kali keduanya.
“Jadi, mengapa perlu merepkr-pengemis-pas-pak-turut-dap-tuan-besarka berasa kesal dan kecewa atas tindakan parti itu yang bersikap kecuali atas rancangan Dap itu?

“Itulah sikap sebenar Dap, yang tetap mahu menunjukkan kononnya mereka ‘abang besar’ dalam pembangkang, walaupun sudah tidak bersama tetap mahu menjadikan Pas seperti ‘lembu dicucuk hidung’,” tegasnya kepada UMNO-Online.

Tambahan pula, bukankah Dap sudah ada rakan sekutu yang baharu, Parti Amanah Negara (Amanah) yang menjadi pengganti dalam pakatan mereka? Makanya, mengapa pula mereka mahu parti itu mengikut tunjuk mereka?, soalnya lagi.
Beliau berpandangan bahawa sebenarnya mereka tahu, jika bergantung harap kepada PKR dan Amanah tanpa sokongan daripada Pas, mana mungkin cita-cita mereka untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan.

“Bukan baharu, tindakan mereka ini seperti mahu mengulangi peristiwa tahun 2009 lalu iaitu Bajet 2010 yang diluluskan oleh ahli dewan dengan undi tipis, di mana 66 orang ahli Parlimen daripada BN menyokong berbanding blok pembangkang, 63 orang yang menolak.

“Reaksi parti Pas itu menunjukkan mereka akhirnya sedar wajah sebenar Dap yang angkuh, mahu semua parti pembangkang mengikut kata dan jejak langkah mereka sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jelas kelihatan Dap tidak senang dengan situasi politik negara sekarang ini apabila Pas bersikap matang, menjadi lebih toleran dengan kerajaan BN, sepertimana kenyataan Presidennya Datuk Seri Haji Hadi Awang yang menyatakan kesediaan bekerjasama bagi perkara-perkara yang membawa kebaikan dan menyentuh kepentingan rakyat.

Tindakan undi tolak bajet itu juga sebenarnya salah satu cara yang tidak beretika yang menjadi antara taktik mereka untuk mengambil alih ‘Putrajaya’ kononnya atas nama demokrasi, melalui ‘pintu belakang’ sama seperti peristiwa 16 September 2008 apabila adanya cubaan membeli ahli-ahli Parlimen BN dan beberapa siri demonstrasi jalanan setelah mempengaruhi rakyat melalui pilihan raya gagal, katanya lagi.

“Bukankah Allah telah memberi peringatan, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ali Imran ayat 54 yang bermaksud; “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya)”,” tegasnya. – MediaUMNO

Hasrat berseronok tidak kesampaian, peragut ditangkap dan dibelasah


KOTA BHARU – Malang berganda buat seorang peragut yang bukan sahaja kempunan melarikan beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Jalan Hamzah, di sini, semalam malah dicekup dan dibelasah pula oleh orang awam yang menyaksikan kejadian.
Suspek berusia 24 tahun dari Kampung Sungai Keladi, di sini, itu dikatakan bersama seorang lagi rakannya menaiki motosikal dan melakukan jenayah terbabit di hadapan sebuah pasar raya, pada jam 3 petang.
Selepas berjaya meragut beg wanita berusia 40-an itu, kedua-duanya memecut motosikal dan melarikan diri, namun dikejar orang awam yang menyaksikan kejadian itu sehingga di Lorong Kubur Kuda, di sini.
Motosikal mereka terjatuh dan seorang daripada mereka berjaya ditangkap, manakala seorang lagi meloloskan diri. Beg tangan yang dilarikan diperoleh semula dan diserahkan kepada mangsa.
Seorang saksi, Mohd Faizul Abdullah, 35, berkata menyedari ada kekecohan dan melihat seorang lelaki lari ke arah semak berhampiran, dia bersama dua rakannya mengejar lelaki berkenaan berniat untuk membantu mangsa.
“Selepas dapat, lelaki itu menyamar sebagai orang kampung, bagaimanapun usaha untuk memperdaya kami tidak kesampaian dan dia dipukul orang ramai yang marah kerana meragut serta hampir menyebabkan mangsa cedera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan insiden tersebut.
Katanya, gerakan mengesan seorang lagi rakan suspek diteruskan dan memberitahu pihaknya akan meletakkan sekurang-kurang tiga atau empat anggota bagi menjalankan rondaan kerap di kawasan berkenaan.
“Suspek yang ditangkap mengalami luka pada siku dan dahi akibat dipukul orang awam. Dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan dimasukkan ke wad serta berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana ragut atau rompak,” katanya.

Lidah Rasmi PAS Terengganu Tiada Kredibiliti (Artikel FITNAH & Berniat JAHAT)


“Tiada kredibiliti”, itulah yang saya dapat rumuskan setelah membaca sebuah artikel yang dikatakan sebagai mewakili lidah rasmi PAS Terengganu menerusi artikelnya yang gigih menghentam kepimpinan kerajaan negeri Terengganu melalui artikelnya yang berjudul, ‘Wahai Razif, Pemimpin Kerajaan UMNO Terengganu…Janganlah Tamak Haloba’

Dengan bermodalkan fakta tidak jelas, “pointless remark” dan emosi editor, penulisan yang seakan ‘meroyan’ ini mungkin kerana halatuju PAS itu kini semakin pudar, kelam dan tenggelam dek keghairahan Parti Amanah Negara menerobosi Terengganu yang kononnya gah sebagai kubu kuatnya.

Lebih malang apabila tiada siapa lagi hendak dipersalahkan di atas punca perpecahan parti tersebut, dan talian hayat terakhirnya adalah dengan memburukkan kerajaan negeri Terengganu yang utuh di bawah kepimpinan UMNO. Dengan harapan sedikit sebanyak dapat menutup  serta mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu perpecahan besar-besaran yang sedang berlaku di dalam PAS pada ketika ini.

Program ceramah sempena Perasmian Pejabat Amanah Marang oleh Parti Amanah Negara yang baru sahaja berlangsung semalam di Bukit Payung, Marang bukan lagi satu rahsia. Tamparan hebat inilah yang mungkin membuatkan PAS biol sebentar, terpinga-pinga dan tidak senang duduk lantaran ikrar PAN meruntuhkan kubu kuat PAS di Marang.

Berbalik kepada serangan penuh emosi dari lidah rasmi PAS Terengganu, saya agak kecewa membaca ‘fakta’ serangan yang kononnya ingin menunjukkan kepincangan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Suka saya kelaskan serangan tersebut sebagai sekadar ‘sembang kedai kopi’ dan ‘lepas geram’. Pada mulanya saya fikir hanya saya beranggapan sebegitu. Rupanya lebih ramai mempunyai pendapat yang sama setelah membaca artikel serangan tersebut.

Manakan tidak, satu demi satu perenggan yang diteliti memperlihatkan bayangan editor sedang menaip emosi penuh kebencian tanpa satu fakta yang jelas. Ada baiknya beliau mencarut sepuasnya sahaja dalam artikel tersebut… tidak ada beza.

Editor portal gagal mempamerkan sentimen rakus yang mengaitkan keterampilan Razif sebagai seorang pemimpin yang kononnya tamak haloba.  Dan siapakah beberapa ‘kerat’ pemimpin UMNO yang dikatakan mahu keuntungan segera itu? Boleh buktikan? Boleh senaraikan supaya rakyat tahu? Inilah yang saya maksudkan dengan ‘tiada kredibiliti’. Jika beliau (editor)  telus dalam membongkar keterlibatan beberapa ‘kerat’ pemimpin UMNO yang mahu keuntungan segera ini, SENARAIKAN.

Saya pasti bukan sahaja ahli PAS berminat hendak tahu, bahkan ahli UMNO dan seluruh rakyat juga pasti hendak tahu sejauh mana prinsip INTEGRITI yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Namun jika tiada apa-apa pembuktian yang mampu mengukuhkan tuduhan serta penulisan di dalam portal tersebut, dapat saya simpulkan  apa yang saya perkatakan sejak mula yakni penulisan lidah rasmi PAS Terengganu TIADA KREDIBILITI adalah tepat. Malanglah bagi pembacanya.

Dimanalah agaknya penulis portal tersebut mendapat angka yang mengatakan hutan seluas 6000 Hektar digondolkan untuk aktiviti melombong bijih di Bukit Besi? Sedangkan gambar yang dipaparkan di portal tersebut menunjukkan angka yang jauh lebih rendah iaitu seluas 476 Hektar. Meluaskan operasi melombong bijih besi ini pula kenyataan siapa?

Isu berkenaan perlombongan bijih besi ini seringkali dijawab oleh pihak kerajaan negeri Terengganu. (rujuk link dibawah)

Walaubagaimanapun, saya faham dengan jelas sikap editor portal yang tidak mempunyai kredibiliti. Lebih-lebih lagi penulisan di laman portal yang bertindak sebagai lidah rasmi sebuah parti yang berada di ambang kerapuhan. Apakah lidah rasmi PAS Terengganu tidak gentar berhadapan tindakan saman kerana putarbelit dan fakta yang salah?

Lempar batu sembunyi tangan itu sikap pengecut. Tidak hairan jika selama ini PAS ditindas semasa berada bersama Pakatan Rakyat dan disepak tendang apabila munculnya Pakatan Harapan. Ciri-ciri tersebut memang terserlah.

LPT 2 : MB Puji Tindakan Yang Diambil Tetapi Keselamatan Diri Mesti Di Utamakan

Written By Unknown on Sunday 8 November 2015 | 23:53


Kuala Nerus : Menteri Besar Terengganu Yab Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman amat terkejut dengan 3 keping gambar yang telah diviralkan dalam media social seperti facebook, whatsapps serta telegram semalam.

Satu kumpulan pelajar dengan sebuah bas telah melakukan perkara yang diluar pemikiran dan kejadian itu secara spontan apabila mereka melalui kawasan tersebut.
Disamping itu Ahmad Razif turut memuji dan menghargai langkah yang dibuat oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Khariah Kuala Terengganu itu mengadakan solat hajat serta bacaan yassin dan dengan rasa nilai tanggungjawab sebagai seorang ISLAM.

Merujuk pada gambar yang disiarkan itu, arah perjalanan bas itu menuju ke Kuala Terengganu dan pelajar-pelajar berkenaan berada dihadapan bas dan disitu dilihat satu langkah keselamatan telah diadakan oleh guru-guru pengiring serta pelajar-pelajar berkenaan.

Satu inisiatif murni dan terbaik di atas usaha yang dilakukan demi untuk mendapat perlindungan dari Allah SWT walaupun mereka berada dalam situasi yang terdedah dan berbahaya.
Sehubungan dengan itu Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini mengarahkan pentadbiran SMA Khairiah di sini menyiasat guru pengiring yang menyuruh pelajarnya membaca Yasin di tepi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya juga akan memanggil guru terbabit dalam masa terdekat untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara itu.

“Mereka sepatutnya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana program seperti itu boleh membahayakan keselamatan mereka. Sepatutnya program sebegitu dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran kerana ia lebih selamat dan selesa,” katanya.

Sementara itu, sumber sekolah berkenaan berkata, bacaan Yasin itu tiada dalam senarai program lawatan sambil belajar ke Kemaman yang disertai 35 pelajar dan tiga guru pengiring itu.

“Pelajar dan guru terbabit sebelum itu mengadakan lawatan sambil belajar ke Kemaman selepas tamat peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) dan dalam perjalanan pulang, guru terbabit mendapat idea dan menyuruh pemandu bas berhenti di tepi jalan untuk membolehkan mereka membaca yasin,” katanya. – alifbaata.com
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger