5 kenderaan terbakar di Besut
Written By Unknown on Friday, 18 September 2015 | 22:43
BESUT - Lima kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Rumah Kos Rendah 2, Kampung Raja, di sini semalam.
Empat daripada lima kenderaan itu adalah dua kereta Perodua Kancil dan dua motosikal yang berada berhampiran kawasan rumah berkenaan turut terbakar.
Difahamkan, kenderaan 4x4 dan motosikal terbabit berada dalam kawasan garaj kereta seorang lelaki berusia 20-an, manakala dua Perodua Kancil yang dipercayai milik salah seorang rakannya pula diletakkan di bahu jalan.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 4.56 pagi sebelum satu jentera dari BBP Besut dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun sebaik tiba, pihaknya mendapati kesemua kenderaan berkenaan sudah terbakar dan usaha mengawal kebakaran segera dijalankan bagi mengelak api merebak ke kawasan kediaman.
“Api berjaya dikawal lima minit kemudian dan hasil pemeriksaan mendapati dua Perodua Kancil terbakar 50 peratus manakala kenderaan 4x4 jenis Isuzu Dimax pula mengalami kerosakan hampir 60 peratus,” katanya.
Mohd Zailani berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dengan jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kejadian itu kemungkinan akibat perbuatan khianat, namun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenainya.
Katanya, forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menyiasat punca kejadian.
Labels:
Semasa
Post a Comment