KOTA BHARU- Kesempitan hidup sepasang suami isteri warga emas dari Bachok ini memaksa mereka berjalan kaki beberapa kilometer sehari untuk menjual buku-buku agama dan ilmiah walaupun ada kalanya hanya satu atau dua buah sahaja terjual.
Ab Rahman Daud, 66, dan isteri, Zahrah Jusoh, 60an ditemui wartawan Sinar Harian ketika singgah di sebuah kedai makan di Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Ab Rahman berkata, dia dan isteri sudah lima tahun menjual buku bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga selepas tidak lagi mampu untuk melakukan kerja-kerja berat akibat masalah kesihatan yang dihadapi.
“Hanya ini pilihan yang kami ada, jual buku, walaupun untung hanya antara RM2 hingga RM3 sebuah, tetapi sekurang-kurangnya kami ada pendapatan menampung keperluan harian,” katanya.
Menurutnya yang juga bapa kepada lapan anak, keadaan dirinya selepas terlibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu yang mengakibatkan tangan kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan dia nekad dengan pekerjaan itu walaupun purata pendapatannya sekitar RM15 hingga RM20 sehari.
Katanya, bagaimanapun jika nasib mereka baik, pendapatan diperoleh melebihi biasa terutama apabila ada dalam kalangan orang ramai yang hanya bersedekah kepadanya tanpa mengambil buku yang dijual.
“Merata tempat pakcik dan makcik pergi untuk menjual buku- buku ini, bukan sahaja sekitar Bachok, malah Tanah Merah pun pernah pak cik sampai, pak cik pergi dengan bas, bila sampai di sesuatu lokasi pak cik akan berjalan mencari tempat-tempat tumpuan untuk menawarkan buku ini,” katanya.
Dia yang menghidap kencing manis sejak lima tahun lalu berkata, berbekalkan modal RM50 dia akan mendapatkan buku-buku tersebut yang dibeli dari sebuah kedai buku di bandar ini, sebelum dijual kepada orang ramai.
Menurutnya, dia menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebanyak RM300 sebulan dan wang tersebut digunakan untuk menampung persekolahan dua anaknya yang kini di Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.
Post a Comment