Hasrat berseronok tidak kesampaian, peragut ditangkap dan dibelasah
Written By Unknown on Monday, 9 November 2015 | 04:14
KOTA BHARU – Malang berganda buat seorang peragut yang bukan sahaja kempunan melarikan beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Jalan Hamzah, di sini, semalam malah dicekup dan dibelasah pula oleh orang awam yang menyaksikan kejadian.
Suspek berusia 24 tahun dari Kampung Sungai Keladi, di sini, itu dikatakan bersama seorang lagi rakannya menaiki motosikal dan melakukan jenayah terbabit di hadapan sebuah pasar raya, pada jam 3 petang.
Selepas berjaya meragut beg wanita berusia 40-an itu, kedua-duanya memecut motosikal dan melarikan diri, namun dikejar orang awam yang menyaksikan kejadian itu sehingga di Lorong Kubur Kuda, di sini.
Motosikal mereka terjatuh dan seorang daripada mereka berjaya ditangkap, manakala seorang lagi meloloskan diri. Beg tangan yang dilarikan diperoleh semula dan diserahkan kepada mangsa.
Seorang saksi, Mohd Faizul Abdullah, 35, berkata menyedari ada kekecohan dan melihat seorang lelaki lari ke arah semak berhampiran, dia bersama dua rakannya mengejar lelaki berkenaan berniat untuk membantu mangsa.
“Selepas dapat, lelaki itu menyamar sebagai orang kampung, bagaimanapun usaha untuk memperdaya kami tidak kesampaian dan dia dipukul orang ramai yang marah kerana meragut serta hampir menyebabkan mangsa cedera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan insiden tersebut.
Katanya, gerakan mengesan seorang lagi rakan suspek diteruskan dan memberitahu pihaknya akan meletakkan sekurang-kurang tiga atau empat anggota bagi menjalankan rondaan kerap di kawasan berkenaan.
“Suspek yang ditangkap mengalami luka pada siku dan dahi akibat dipukul orang awam. Dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan dimasukkan ke wad serta berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana ragut atau rompak,” katanya.
Labels:
Jenayah
Post a Comment