Home » » Bakar kereta kawan sekampung

Bakar kereta kawan sekampung

Written By Unknown on Wednesday 29 April 2015 | 05:36


MARAN - Akibat gagal kawal kemarahan, seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila membakar kereta Proton Perdana milik kawan sekampungnya dalam satu kejadian di Felda Sungai Nerek dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mencetuskan pertikaman lidah dan tuduh-menuduh melibatkan hal peribadi di hadapan rumah pemilik kenderaan terbabit.

Enggan memanjangkan pertengkaran, pemilik kenderaan tersebut beralih masuk ke dalam rumah tanpa mengetahui tindakannya itu telah membuatkan suspek tidak puas hati dan berang sehingga sanggup membakar keretanya menggunakan pemetik api.

Selepas melakukan perbuatan salah tersebut, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi berkata, tindakan suspek berusia lingkungan 20-an itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian dalam kereta milik mangsa.

"Mujur jiran berdekatan bertindak segera bantu memadamkan kebakaran tersebut sebelum merebak dan tiada sebarang kecederaan jiwa dilaporkan berlaku," katanya sekali gus memberitahu suspek turut dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek setelah melarikan diri sebaik membakar kereta mangsa juga sedang giat dilakukan.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger