Home » » Perkampungan Industri Nelayan Bernilai RM170 Juta Bakal Dibangunkan Tahun Depan

Perkampungan Industri Nelayan Bernilai RM170 Juta Bakal Dibangunkan Tahun Depan

Written By Unknown on Saturday 7 November 2015 | 20:30

Kerajaan negeri bakal membangunkan perkampungan industri nelayan di kawasan berkeluasan 8.8 hektar di Kampung Seberang Pak Abu, Seberang Takir, bermula tahun depan.

Pusat industri baharu yang menelan belanja kira-kira RM170 juta itu akan menjadi sumber ekonomi yang mampu memberi pendapatan tambahan dan membuka peluang pekerjaan kepada ramai rakyat tempatan terutama keluarga nelayan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembangunan industri yang melibatkan kilang memproses isi ikan sebagai pembekal utama kepada pengusaha keropok di seluruh Terengganu antara langkah meningkatkan tahap kebersihan berikutan pengusaha tidak lagi perlu memproses bahan mentah itu bagi menghasilkan keropok di premis jualan masing-masing.

“Untuk permulaan, Kerajaan Pusat sudah meluluskan RM10 juta bagi penyediaan rekabentuk dan kerja awal lain termasuk untuk kerja membina penghadang bagi membangunkan kilang pemprosesan isi ikan dan beberapa kemudahan nelayan yang lain.

“Perkara ini sudah saya kemukakan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan beliau bersetuju meluluskan peruntukan keseluruhan kira-kira RM170 juta untuk tujuan ini sebagaimana pembentangan bajet di Parlimen baru-baru ini. Bagaimapun pembangunan seterusnya kita akan laksanakan sebaik memperolehi bajet penuh berkenaan daripada Pusat ,”katanya selepas merasmikan program Himpunan Jemaah Wanita Islam Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Sharizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Datuk Fatimah Hamat.
Ahmad Razif berkata, kewujudan industri itu akan membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 penduduk setempat sekali gus merancakkan pembangunan sosio ekonomi di sekitar kawasan terbabit.

Tambahnya, kilang itu juga nanti mampu mengembalikan semula cara pembuatan keropok secara tradisional yang sudah lama ditinggalkan generasi kini, sesuai dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu cara lama dimensi baharu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut melantik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai konsultan projek yang akan menjalankan kajian dan penilaian keseluruhan pembangunan serta hal ehwal nelayan.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger