4 lelaki bawa dadah ditahan di LPT2
Written By Unknown on Saturday, 7 November 2015 | 20:26
HULU TERENGGANU - Operasi Khas Trafik Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hari ketiga semalam menyaksikan polis berjaya membongkar penemuan dipercayai daun ketum dan dadah jenis pil.
Ia terbongkar susulan penahanan sebuah Toyata Estima atas kesalahan memandu melebihi had laju.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil itu, polis mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat lelaki itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dari Singapura.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Hussin Deraman berkata, terdahulu pihaknya menahan kenderaan itu dalam sekatan di kawasan hentian rehat setelah kamera perangkap had laju mengesan MPV berkenaan dipandu melebihi had laju.
“Ekoran penahanan itu, hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu. Pemeriksaan lanjut berjaya membawa pihak polis menemui barangan terlarang itu yang diletakkan dalam bonet.
“Selain menemui 10 bungkus plastik dipercayai daun ketum seberat 46 kilogram dan 911 biji pil disyaki dadah, pihak polis juga turut menemui tiga ekor ayam laga. Kesemua empat lelaki berusia 29 tahun hingga 45 tahun ditahan sebelum dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
“Kenderaan dinaiki suspek dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke selatan. Kesemua mereka kini ditahan di lokap IPD Hulu Terengganu sebelum mendapat perintah tahanan reman daripada mahkamah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambah Hussin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan juga Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Untuk rekod, Operasi khas trafik dijalankan bermula 5 hingga 9 November ini dengan kekuatan pegawai dan anggota trafik kontinjen Terengganu serta dibantu pegawai serta anggota trafik dari Bukit Aman dengan jumlah keseluruhan kekuatan 27 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Labels:
Jenayah
Post a Comment