Home » » UMNO Tidak Pernah Tolak Hukum Hudud – Dr Fadlan Othman

UMNO Tidak Pernah Tolak Hukum Hudud – Dr Fadlan Othman

Written By Unknown on Friday, 18 April 2014 | 07:08


KUALA LUMPUR, 18 April – Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al Quran dan Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd Othman menegaskan bahawa kerajaan yang diterajui oleh UMNO tidak pernah menolak hukum hudud yang termaktub di dalam Al Quran seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak selama ini.



Menurut beliau, perkara ini berlaku akibat salah faham berhubung kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mempersoalkan perlaksanaan hudud yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan sebelum ini.

“Kenyataan Tun itu bukanlah menolak secara mutlak hukum hudud yang termaktub di dalam Quran, tetapi Tun Mahathir hanya mempersoalkan berhubung perlaksanaan hukum tersebut yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan agar ianya dapat dilaksanakan dengan adil bagi semua pihak.


“Perkara ini telah disalah tafsirkan serta diambil kesempatan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa bahawa kerajaan atau UMNO menolak perlaksanaan hukum hudud, di mana ianya lebih menjurus kepada agenda politik di sebalik dakwaan itu,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Kata beliau, salah satu perkara yang dipersoalkan oleh Tun Mahathir dalam kenyataannya ialah berhubung perlaksanaan hudud yang hanya dikenakan terhadap umat Islam saja dan tidak termasuk kepada mereka yang bukan Islam.

“Sekiranya hukum hudud dilaksanakan, ia perlu diimplementasikan kepada semua golongan dan bukan hanya kepada umat Islam saja, kerana ia akan menimbulkan pelbagai persoalan dan juga dibimbangi berlakunya ketidak adilan di situ,” ujarnya.

Tambah Dr Fadlan, dalam isu hudud dan perlaksanaan hukum ini, apa yang penting ialah masyarakat Islam dan juga bukan Islam perlu mempunyai ilmu pengetahuan berhubung perkara tersebut. Kurangnya ilmu tentang hukum hudud ini antara sebab timbulnya pertelingkahan baik di kalangan ahli politik termasuk orang awam.

“Di dalam setiap perkara yang kita hendak amalkan, perkara asas yang perlu ada sebelum kita melaksanakan sesuatu itu ialah ilmu. Jadi, samalah seperti perlaksanaan hukum hudud yang mahu kita implementasikan dalam negara kita ini.

“Saya kira, dalam isu hudud semua pihak tidak kira UMNO mahupun Pas perlu bekerjasama dalam usaha untuk memberikan penerangan tentang manfaat hukum hudud sekiranya dilaksanakan di negara kita, baik kepada umat Islam dan juga kepada non muslim.

“Saya yakin, ramai di antara umat Islam sendiri yang tidak jelas dan tidak memahami tentang hukum hudud ini , apatah lagi non muslim. Penjelasan itu pula perlulah dibuat dengan cara yang betul dan tidak hanya secara tuntas supaya ia tidak menambahkan kekeliruan yang sedia ada hari ini,” ujarnya.

Beliau kemudiannya mengambil contoh pertemuan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ustaz Fathul Bari bersama bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek berhubung kenyataan beliau tentang hukum hudud tidak lama dulu.

“Di dalam pertemuan itu, setelah diperjelaskan oleh Ustaz Fathul Bari tentang hudud, Chua Soi Lek akhirnya berkata bahawa beliau tidak punya masalah untuk menerima hukum hudud sekiranya ianya diterima oleh majoriti rakyat di negara ini.

“Ini bermakna sekiranya kita memberikan penerangan yang betul tentang keadilan yang ada di dalam hukum hudud ini, saya yakin masyarakat terutamanya yang bukan Islam akan menerima perlaksanaan hudud ini secara terbuka.

“Justeru itu, dalam usaha untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini, UMNO dan Pas perlu bekerjasama membuat penerangan secara turun padang bagi menjelaskan kepada rakyat akan kebaikan hukum hudud sekiranya ia dilaksanakan di negara ini,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut memberikan cadangan bahawa dalam usaha untuk merealisasikan hukum hudud di negara ini, kepimpinan UMNO dan Pas dicadangkan dapat duduk bersama bagi membincangkan dengan lebih serius dalam hal ini.

“Kita perlu ketepikan segala sentimen dan perbezaan politik antara UMNO dan Pas demi untuk melaksanakan hukum Allah di negara kita ini. Baru-baru ini, Alhamdulillah apabila kepimpinan UMNO Kelantan telah menyatakan persetujuan dan sokongan mereka sekiranya kerajaan Kelantan yang diterjui oleh Pas mahu melaksanakan hudud di negeri tersebut.

“Ini merupakan satu permulaan yang baik dan saya berharap agar perpaduan dan persamaan kehendak kepimpinan UMNO dan Pas dalam melaksanakan hudud ini dalam diterjemahkan dalam satu usaha bersama yang erat agar ianya dapat direalisasikan.

“Dalam masa yang sama, saya juga mencadangkan kita menimba sedikit pengalaman dari beberapa buah negara yang telah pun melaksanakan hukum tersebut seperti Arab Saudi dan juga Brunei dalam usaha kita untuk merealisasikan perintah hudud di negara ini,” akhiri beliau. -MediaUMNO
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger