LPT2: Bomba sedia tangani kecemasan
Written By Unknown on Sunday, 8 November 2015 | 23:48
KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia bekerjasama dengan agensi lain dalam memberi bantuan dan menyelamat mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata satu alternatif yang tertumpu kepada langkah pencegahan perlu dilaksanakan di sepanjang laluan berkenaan dalam usaha mengurangkan kes kemalangan.
“Menempatkan pasukan keselamatan kecemasan di laluan itu bukanlah satu penyelesaian untuk jangka panjang bagi mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut.
“Sebaliknya, satu kajian menyeluruh harus dilaksanakan bagi mencegah dan mengingatkan orang ramai sepanjang menggunakan lebuh raya dengan memperbanyakkan papan tanda amaran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan penyerahan tugas Pengarah Bomba Terengganu, di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 15 pegawai kanan bomba seluruh negara dinaikkan pangkat dari gred 48 hingga 54.
Wan Mohd Noor berkata setakat ini, tiada keperluan untuk pihaknya menempatkan anggota bersama jentera di lebuh raya berkenaan sebagai tindakan awal kepada kes kecemasan.
Beliau berkata, kebanyakan balai bomba yang ada pada masa ini, berada di lokasi strategik dan mampu memberi respons dalam masa yang singkat.
“Balai-balai yang ada ketika ini berada tidak jauh dari LPT dan kita yakin mampu memberi tindak balas yang cepat jika berlaku kes kecemasan di laluan itu,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pihaknya bersedia dan komited membantu Indonesia memadam kebakaran di hutan negara berkenaan, yang menjadi punca utama jerebu rentas sempadan, yang turut melanda Malaysia.
“Ketika ini keadaan jerebu semakin stabil dan setakat ini, bantuan belum dikerahkan ke Indonesia,” katanya. – Bernama
Labels:
Semasa
Post a Comment