Home » » Bekas peguam hadapi tuduhan cabul

Bekas peguam hadapi tuduhan cabul

Written By Unknown on Monday, 7 September 2015 | 21:34


KOTA BHARU - Mahkamah majistret, di sini, semalam menolak permohonan pihak pendakwaan bagi merujuk seorang bekas peguam ke hospital mental berhubung tuduhan cabul yang dihadapi lelaki terbabit.

Keputusan dibuat Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin terhadap Tay Kiang Heong, 47. Dia mengaku tidak bersalah didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang pekerja kedai kek berusia 32 dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Kejadian berlaku di sebuah kedai kek di Jalan Hamzah, di sini, pada jam 9.30 malam, 13 Julai lalu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri membuat permohonan untuk merujuk tertuduh ke hospital mental bagi tujuan pemeriksaan atas dasar pemerhatian pihak polis terhadap lelaki tersebut ketika disoal siasat.

Permohonan itu bagaimanapun mendapat bantahan peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari dengan hujahan tiada keperluan untuk berbuat demikian dan tidak ada perbuatan tertuduh yang boleh dikaitkan dengan masalah mental.

“Beri masa saya untuk membuat representatif. Tertuduh adalah penasihat undang-undang di sebuah firma guaman dan menanggung seorang isteri serta dua anak.

"Ini tuduhan pertama dihadapinya, mohon mahkamah mengambil kira reputasi tertuduh yang agak dikenali,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 11 Oktober depan. Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 daripada RM10,000 yang dicadangkan dengan syarat tidak mengganggu mangsa. Jamin dijelaskan isteri tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh ditahan di sebuah pasar Cina, di sini, selepas didakwa membuat ugutan terhadap seorang Ketua Unit Pendakwaan negeri ini, Ogos lalu. Tertuduh juga dikatakan berdepan beberapa aduan lain.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger