Home » » Tiada bas awam lalui Bukit Puteri

Tiada bas awam lalui Bukit Puteri

Written By Unknown on Saturday 16 May 2015 | 22:00


KUALA BESUT - Ketiadaan kemudahan pengangkutan awam khususnya bas bagi laluan Kuala Besut ke Jertih yang melalui Bukit Puteri sejak lima tahun lalu, menyukarkan orang ramai yang tidak mempunyai kenderaan sendiri sama ada untuk ke pekan Kuala Besut mahupun bandar Jertih.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada pelajar terutama dari SMK Seri Bukit Puteri dekat Kampung Baharu, yang sukar untuk berulang-alik ke sekolah bagi mengikuti program pada hujung minggu atau waktu petang.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sendiri menyedari kesulitan dihadapi penduduk setempat dan juga pihak sekolah.

Beliau yang juga pengerusi PIBG SMK Seri Bukit Puteri berkata, masalah itu turut menyebabkan ratusan pelajar sukar untuk pergi atau pulang dari sekolah kerana tiada perkhidmatan bas awam melalui bandar berkenaan.

“Kesulitan ini menyebabkan ada pelajar terpaksa menunggu lama di hentian bas dan berjalan kaki ke rumah walaupun jarak jauh, ada kalanya guru yang tumpangkan.

“Keadaan ini turut membahayakan pelajar khususnya pelajar perempuan kerana kadangkala mereka terpaksa menaiki teksi sapu (haram),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai warga SMK Seri Bukit Puteri membina sebuah pondok rehat pada program Gotong-royong Perdana Khidmat Masyarakat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah berkenaan, semalam.

Sehubungan itu, kata Tengku Zaihan, beliau sudah bertemu dan berbincang dengan pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi masalah itu segera.

Menurutnya, hasil perbincangan itu turut menunjukkan perkembangan positif bagi mewujudkan semula perkhidmatan bas di laluan tersebut.

“Orang ramai amat mengharapkan kemudahan itu terutama bagi penduduk yang tiada pengangkutan sendiri, tambahan pula kadangkala ibu bapa pelajar tidak berkesempatan mengambil atau menghantar anak mereka kerana tugasan.

“Bagaimanapun, saya yakin SPAD akan ambil langkah terbaik dan ada syarikat bas beroperasi seperti biasa di laluan itu nanti,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger