DAP cabar Pas gabung dengan UMNO
Written By Unknown on Sunday, 24 May 2015 | 12:11
KUALA LUMPUR 23 Mei – DAP mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membawa Pas bergabung dengan UMNO sekiranya Presiden Pas itu mahu berbuat demikian.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng berkata, Abdul Hadi perlu berterus terang dan menyuarakan hasratnya secara terbuka.
Beliau mendakwa, Abdul Hadi memainkan sentimen perkauman apabila menuduh DAP tidak bersedia mewakili semua kaum di negara ini seperti yang digambarkan dalam Kabinet bayangan parti itu baru-baru ini.
“Adakah ini alasan untuk bergabung dengan UMNO dan membentuk kerajaan perpaduan?
“Sekiranya beliau mahu bergabung dengan mereka, beliau boleh pergi. Tetapi jangan menyerang dan membuat dakwaan palsu terhadap DAP,” katanya seperti dilaporkan portal berita Free Malaysia Today hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menyatakan pendirian bahawa Pas menolak cita-cita DAP untuk membentuk Kabinet bayangan sendiri tanpa penglibatan Pas dan PKR sekiranya pakatan pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.
Beliau menegaskan, majoriti jawatan dalam kabinet bayangan itu nanti perlu diisi dalam kalangan pemimpin yang beragama Islam untuk menguasai kerajaan dengan mengambil kira majoriti sokongan rakyat.
Abdul Hadi juga mahu jawatan Perdana Menteri disandang oleh individu yang beragama Islam kerana langkah itu lebih menepati komposisi masyarakat majmuk di negara ini.
Isnin lalu, Guan Eng memberi gambaran tentang cita-cita parti itu untuk memerintah negara secara bersendirian dengan membentuk Kabinet bayangannya sendiri tanpa penglibatan Pas dan PKR.
Labels:
Politik
Post a Comment