Home » » Enggan kerjasama lagi dengan DAP

Enggan kerjasama lagi dengan DAP

Written By Unknown on Friday 3 April 2015 | 22:01


KUALA TERENGGANU – Pas Kawasan Kuala Nerus memaklumkan pihaknya tidak berhasrat meneruskan kerjasama dengan DAP pusat dan negeri.



Ia berikutan pihaknya kesal terhadap pendirian DAP Terengganu yang mengambil sikap sebagaimana DAP pusat, untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Yang Dipertuanya, M Shukrimun Shamsudin berkata, pihaknya menganggap pendirian DAP pusat ataupun negeri yang meneruskan kerjasama dengan Pas dan ahlinya tidak ubah seperti mengajak ahli Pas memutuskan juga hubungan dengan presiden parti itu.

“Pas Kawasan Kuala Nerus menganggap, sekiranya mana-mana anggota keluarga yang meneruskan kerjasama dengan musuh ‘ayah’ (Abdul Hadi) yang menentang pendirian ayah yang didokong oleh semua anggota keluarga, mereka bersikap kurang ajar dengan ayahnya’,” katanya secara berkias dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, DAP Terengganu akur dengan pendirian DAP Pusat untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, pihaknya bagaimanapun tidak akan memutuskan hubungan dengan Pas negeri sebagaimana pendirian dibuat DAP di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, Shukrimun berkata, pihaknya menyokong penuh usaha Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas untuk meneruskan hasrat membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen.

Pihaknya juga menegaskan bahawa ia menjadi kewajipan kepada ahli Pas khususnya di peringkat kawasan itu menyokong usaha memartabatkan syariat Islam.

“Kami dengan ini ingin menegaskan bahawa, haram bagi Pas Kawasan Kuala Nerus untuk tidak menyokong sebarang usaha bagi meninggikan syariat ALLAH di muka bumi ini,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger