Home » » Bawa anak saudara ke port dadah

Bawa anak saudara ke port dadah

Written By Unknown on Thursday 9 April 2015 | 23:59


KUALA BESUT - Seorang lelaki bukan sahaja tergamak membawa anak saudara yang berusia kira-kira tiga tahun ke sebuah sarang penagihan dadah tetapi turut bertindak meninggalkan budak lelaki itu apabila menyedari kehadiran pasukan polis.



Suspek dianggarkan berusia 40-an itu cuba diberkas sepasukan anggota polis yang menyerbu sebuah port dadah di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tok Saboh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, menerusi Ops Sarang yang disertai seorang pegawai dan lapan anggota Pasukan Khas Scorpion Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut serta dua kakitangan agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) masuk ke kawasan berkenaan bermula jam 8 pagi.

Menurutnya, kira-kira jam 1 petang, polis yang bersembunyi di kawasan terbabit mendapati seorang lelaki menunggang motosikal roda tiga memasuki port itu sambil membawa bersama kanak-kanak terbabit.

“Menyedari kehadiran anggota polis, suspek cuba melarikan diri namun motosikal roda tiganya tersangkut pada sebatang pokok kelapa sawit, menyebabkan dia lari meninggalkan motosikal dan anak saudaranya.

“Suspek berjaya meloloskan diri, namun identiti suspek sudah dikenal pasti dan dia yang tinggal di kampung berhampiran sedang dikesan polis.

“Dalam operasi itu polis menahan 14 lelaki dan 13 suspek berusia  25 hingga 53 tahun itu didapati positif dadah serta seorang daripada mereka memiliki dadah,” katanya.

Khaled berkata, polis juga berjaya merampas sebuah motosikal dipercayai motosikal curi daripada seorang suspek.

“Turut dirampas 10 biji pil berwarna kemerahan dipercayai dadah jenis methamphertamine (pil kuda).

“Seramai 12 suspek diserahkan kepada AADK untuk disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1962 kerana memiliki pil kuda.

Sarang penagihan dadah itu pernah diserbu pasukan sama kira-kira dua minggu lalu dan polis berjaya memberkas 17 suspek.

Polis akan membuat serbuan dan operasi secara berterusan bagi memastikan usaha membanteras penagih dadah berjaya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger