Home » » Sindikit Edar Dadah Ke Pulau Peranginan Di Besut Tumpas

Sindikit Edar Dadah Ke Pulau Peranginan Di Besut Tumpas

Written By Unknown on Saturday 28 March 2015 | 08:20


PASIR PUTEH - Pelbagai jenis dadah bernilai RM10,000 dirampas daripada satu rangkaian pengedar yang menjadikan pulau peranginan berdekatan sebagai sasaran utama.



Tiga lelaki daripada rangkaian yang aktif di sekitar Semerak, ditahan di muara Tok Bali menerusi Ops Pensura 1/5 yang digerakkan Pasukan Polis Marin Tok Bali.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Pemerintah Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali, Inspektor Nik Ali Nik Mat mengesan satu bot dalam keadaan mencurigakan jam 12 tengah hari.

Katanya, seorang lelaki berusia 30 tahun berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dengan memecut botnya ketika dihampiri bot Polis Marin.

“Bot itu ditahan dan hasil pemeriksaan dilakukan, menemui beg berwarna kuning mengandungi satu lagi beg kecil berwarna biru yang menyimpan satu tin kecil yang mengandungi tiga  botol plastik serbuk putih dipercayai heroin.

“Kita juga temui satu straw pendek yang berisi satu biji pil merah, satu straw merah berisi pil hijau, satu tiub plastik cerah berwarna oren mengandungi serbuk putih yang kesemuanya dipercayai dibungkus untuk dipasarkan kepada penagih menerusi jalan laut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang dikenal pasti penduduk di sebuah pulau yang berhampiran disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksen 12(2) akta yang sama selepas ujian kencing menunjukkan suspek positif Methamphetamine.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut suspek mengakui mendapat bekalan dadah di sekitar Semerak untuk diedarkan di sebuah pulau peranginan di daerah Besut, Terengganu.

“Hasil maklumat suspek, polis diketuai Inspektor Nur Amarina Shamsuddin terus jejaki pembekal dadah dengan menangkap seorang suspek lelaki berusia 42 tahun beberapa jam kemudian di sebuah kampung di Semerak. Tiada sebarang rampasan dadah dari lelaki tapi positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 12(1) ADB 1952,” katanya.

Abdul Rozak berkata, hasil maklumat suspek kedua, seorang lelaki berumur 20 tahun yang dipercayai sebagai pengedar utama berjaya ditangkap ketika menunggang motosikal di sebuah kampung di Semerak pada jam 9 malam hari yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati beg yang digalas suspek mengandungi 200 pil dipercayai pil kuda, 70 pil dalam tujuh paket plastik berwarna merah dipercayai Eramin 5, dua biji pil berwarna hijau yang dibungkus berasingan dan satu paket plastik cerah yang mengandungi tujuh biji pil berwarna coklat pudar.

Beliau berkata, turut ditemui ialah senjata besi buku lima dan wang tunai berjumlah RM240 dipercayai hasil jualan dadah secara runcit.

“Polis percaya ketiga-tiga suspek yang ditahan reman sejak semalam adalah satu rangkaian pengedar dadah yang menggunakan jalan laut yang sebelum ini dianggap selamat oleh mereka,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger