Home » » Sekretariat Pesona Promosi Terengganu Di Forum Pelancongan Terbesar Dunia

Sekretariat Pesona Promosi Terengganu Di Forum Pelancongan Terbesar Dunia

Written By Unknown on Sunday 8 November 2015 | 04:34


Usaha mempromosi Terengganu ke persada antarabangsa terus dipergiat apabila kerajaan negeri menerusi Sekretariat Pesona Terengganu bersama sembilan agensi kerajaan dan 34 penggiat industri pelancongan negara menyertai World Travel Market (WTM) di London selama empat hari yang berakhir hari ini.

Pada tahun ini, WTM yang merupakan forum pelancongan terbesar dunia menjadi satu platform untuk mengetengah dan mempromosi industri pelancongan negara kepada agensi pelancongan dan media di Eropah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, berkata selain Terengganu, Melaka, Sabah, Sarawak, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak juga turut menyertai festival itu bagi mempromosi produk-produk pelancongan di negeri masing-masing.

“WTM London yang menjadi tumpuan penggiat-penggiat industri pelancongan terkemuka dunia dan media antarabangsa adalah merupakan platform yang terbaik bagi kerajaan negeri Terengganu untuk mempromosikan Pesona Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 kepada pasaran Eropah,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberikan taklimat ringkas dan menayangkan video Pesona Terengganu sebagai promosi awal TMT 2017, ketika sidang media oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang turut dihadiri kira-kira 100 orang media antarabangsa.

Delegasi dari Terengganu yang diketuai Tengku Zaihan turut disertai oleh Ketua Task Force Pelancongan, dua pegawai kerajaan negeri dan dua ejen pelancongan serta perhotelan.

Dalam program itu, pelbagai risalah pakej dan promosi pelancongan diedarkan secara meluas kepada agensi-agensi pelancongan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berkata, sebanyak 45 temujanji bersama ejen-ejen pelancongan dunia dan media cetak, elektronik dan blogger diatur sepanjang empat hari program selain menerima kunjungan pelancong Eropah ke gerai pameran Terengganu.

“Kita akan menggerakkan segala usaha, ruang dan peluang yang ada terutamanya mengadakan kerjasama yang erat dan rapat dengan Tourism Malaysia bagi mempromosikan pelancongan Terengganu sebagai destinasi menjadi tumpuan pelancong dunia selaras dengan hasrat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman,  dalam memperkasakan lagi industri pelancongan negeri dan ini adalah forum pelancongan dunia yang pertama yang disertai oleh Kerajaan Negeri selepas kejayaan program Pesona Terengganu yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 Oktober hingga 2 November 2015’’, katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism MalaysiaDatuk Mirza Taiyab, berkata penglibatan kerajaan negeri terutama Terengganu sangat digalakkan bagi meningkatkan lagi promosi produk-produk pelancongan seperti Pulau Perhentian, Redang, Tasik Kenyir dan Bandar Raya Kuala Terengganu di peringkat antarabangsa.

Katanya, promosi awal TMT 2017 di WTM London adalah tepat pada masanya kerana persediaan promosi dan acara dapat diselaraskan dengan lebih berkesan bersama ejen-ejen pelancongan yang memerlukan waktu untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan ke negeri Terengganu.

Beliau juga menggalakkan kerajaan negeri untuk menyertai beberapa acara antarabangsa yang lain seperti ASEAN Tourism Forum 2016, International Tourism Borse (ITB) di Berlin, Arabian Travel Mart (ATM) di Dubai dan juga misi galakan pelancongan ke luar Negara bersama Tourism Malaysia bagi tujuan promosi Tahun Melawat Terengganu.

Beliau juga melahirkan rasa kagum terhadap usaha dan inisiatif Terengganu yang berterusan dalam mempromosikan pelancongan negeri sekaligus melaksankan TMT, sambil memaklumkan Tourism Malaysia akan sentiasa membantu usaha-usaha negeri itu dalam meningkatkan aktiviti pelancongan dalam dan juga di luar  negara.

Pengarah Pemasaran dan Jualan The Travel Experts, Samina Mashkur pula menjelaskan beliau akan mengadakan lawatan pembelajaran ke Terengganu pada Mac tahun hadapan bagi menjadikan negeri itu sebagai destinasi pakej pelancongan Islam kepada pelajar-pelajar dan keluarga di Eropah.

Tambahnya, ini adalah kerana beliau mendapati Kuala Terengganu adalah sebuah destinasi percutian yang harus dikunjungi oleh pelancong-pelancong beragama Islam kerana keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan terutama bagi mendapatkan makanan halal.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger