Home » » Bakal bina Bandar Wakaf

Bakal bina Bandar Wakaf

Written By Unknown on Friday, 6 November 2015 | 19:16


KUALA TERENGGANU- Bandar Wakaf yang akan dibangunkan di kawasan Bandar Baru Kuala Nerus akan menekankan kepada pembangunan ekonomi orang Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bandar wakaf itu yang berkeluasan 8.8 hektar (22 ekar), akan dilengkapi dengan kawasan komersial, perumahan dan hotel yang menggunakan konsep wakaf sepenuhnya.

Menurutnya, bandar wakaf itu adalah hasil cadangan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Bhd, (WANCorp), iaitu institusi wakaf korporat pertama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

“Ia akan diuruskan oleh Maidam manakala kerajaan negeri akan menyediakan kawasan cadangan. Konsep wakaf ini banyak diamalkan di luar negara terutamanya untuk pendidikan.

Universiti Al-Azhar misalnya, menggunakan konsep wakaf yang pada akhirnya pelajar tidak perlu lagi bayar yuran.

“Ini yang kita sedang perhalusi, bagaimana cara pelaksanaannya. Mungkin sebahagian penghuninya adalah pelajar yang layak memandangkan terdapat banyak institusi pengajian tinggi berhampiran.

“Peniaganya juga mungkin dari kalangan orang asnaf yang mana ia tidak akan membebankan mereka kerana kita ingin memastikan pembangunan ekonomi orang Islam. Konsep yang akan dilaksanakan nanti adalah sebagaimana yang dilaksanakan di Turki,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, kelmarin.

Sebelum itu, beliau turut menyaksikan majlis penyerahan zakat RHB yang diwakili Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Ibrahim Hassan kepada Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger