Home » » LPT2 terus bermandi darah, seorang lagi maut

LPT2 terus bermandi darah, seorang lagi maut

Written By Unknown on Sunday, 18 October 2015 | 23:04


KEMAMAN – Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) terus bermandi darah apabila satu lagi kemalangan maut berlaku di Kilometer 317.9 dekat Kerteh, kira-kira jam 1.25 pagi tadi iaitu hanya selang 26 jam selepas nahas tragis mengorbankan nyawa seorang bapa dan anak sulungnya.

Dalam kemalangan itu, seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya parah apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan semasa sedang berkonvoi pulang ke Pahang dari Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu, Kelantan bersama 10 motosikal lain.

Samsulhaimi Che Mat, 46, dari Kampung Baru Sungai Ling Dalam di Chenor yang membonceng motosikal menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, mangsa merupakan ahli ‘Alternative Riding Club’ (ARC) Pahang yang bernaung di bawah Pas dan aktif mengikuti banyak program kelab dan parti.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, seorang lagi mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, pula patah kaki kanan.

Katanya, kejadian berlaku ketika konvoi motosikal itu dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan sebelum motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba terbabas dengan sendiri dan melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Mangsa parah yang beralamat di Kampung Baru Chenor dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk diberi rawatan kecemasan dan kini ditahan di dalam wad. Mangsa yang maut pula dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.

Jenazah Samsulhaimi kemudian dituntut pada jam 10 pagi tadi untuk disemadikan di kampung halamannya di Pahang.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger