Cipta mesin cetak pil kuda
Written By Unknown on Sunday, 6 September 2015 | 17:42
KOTA BHARU - Sempat lima bulan menyalah guna kepakaran mencipta mesin cetak pil kuda dan senjata api buatan sendiri, seorang mekanik juga ketua sindiket Tazi Pomen akhirnya tumpas ditahan polis, Khamis lalu.
Lelaki berusia 36 tahun terbabit bersama isteri berusia 31 tahun serta empat lelaki, tiga daripadanya pengedar dadah ditahan di sebuah rumah di Kampung Kubang Laka, Peringat, di sini, pada jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, bertindak melancarkan serbuan sebelum menahan tiga dipercayai pengedar yang berada di luar rumah itu.
Katanya, anggota seterusnya mengetuk pintu dan dibuka seorang wanita iaitu isteri kepada suspek utama, Tazi Pomen. Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mendapati ada dua lelaki, salah seorangnya ketua sindiket yang juga seorang mekanik.
“Satu alatan yang dicipta khas oleh suspek utama dipercayai digunakan untuk menukar serbuk dadah ke dalam bentuk pil WY, ditemui. Mesin ini dapat menghasilkan 600 pil dalam operasi beberapa jam pada satu-satu masa. Mesin yang dihasilkan daripada komponen kereta ini digerakkan menggunakan tenaga tangan manusia seperti mesin cendol.
“Selainnya, turut dirampas 1,286 pil dan serbuk merah dipercayai dadah seberat 1.5 kilogram. Dadah dalam bentuk serbuk ini dipercayai dibeli dari negara jiran dan dilabelkan sebagai plaster mozek atau 'floor and wall grout joint filler' bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, penemuan mesin itu adalah kejayaan pertama dicatatkan polis di negeri ini. Kesemua jumlah rampasan dadah bernilai RM326,000 dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyiasat kes mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 selepas penemuan empat laras senapang angin dan 79 peluru hidup pelbagai jenis serta 11 kelongsong.
“Senjata ini juga direka sendiri oleh suspek utama dan dipercayai dihasilkan bertujuan melindungi dirinya serta dijual bagi mendapatkan keuntungan. Peluru itu pula dijadikan contoh untuk penghasilan senjata.
“Barangan lain yang dirampas untuk sitaan termasuk tujuh motosikal pelbagai jenama, satu kereta Proton Perdana dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm, barangan kemas, jam tangan serta wang tunai berjumlah RM725 dengan keseluruhannya bernilai RM161,225,” katanya.
Labels:
Jenayah
Post a Comment