Home » » Umpama nyawa kedua, lelaki terlepas hukuman mati

Umpama nyawa kedua, lelaki terlepas hukuman mati

Written By Unknown on Monday, 3 August 2015 | 17:05


KOTA BHARU – Umpama diberi nyawa kedua buat seorang pekerja kedai perabot selepas terlepas dari hukuman mati kerana tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Azwa Shahrul Aman, 23, bagaimanapun tidak bebas sepenuhnya apabila dihukum penjara 11 tahun dan 10 sebatan selepas tuduhan itu dipinda kepada memiliki di mahkamah sama.

Hukuman diputuskan Hakim, Tuan Ahmad Bache selepas membuat pertimbangan dari segala aspek termasuk trend hukuman terhadap kesalahan seumpamanya.

“Keputusan dibuat selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak dan membezakan termasuk jenis serta berat dadah. Kesalahan ini adalah serius dan kamu sangat bernasib baik kerana pada asalnya dituduh mengedar, tetapi dipinda pada tuduhan pilihan,” katanya.

Tertuduh mengaku salah pada tuduhan memiliki 56.24 gram dadah jenis metamphetamine di alamat Jalan Perol, Peringat, di sini, pada jam 10.45 pagi, 25 Oktober, tahun lalu.

Isterinya, Nurul Aimie Muhamad, 23, juga tertuduh ketiga dalam kes sama bersama tertuduh kedua seorang rakan mereka, Wan Ibrahim Mustafa, 63, dibebaskan dan dilepaskan mahkamah.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Shahruddin Mohamad, memohon mahkamah memberikan hukuman penjara minimum kerana tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak berusia empat tahun.

Rayuan itu bagaimanapun dibalas hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob supaya menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan iktibar kepada orang awam agar tidak melakukan perkara sama seperti tertuduh.

Hukuman diarah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 25 Oktober 2014.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger