KUALA BESUT - Penduduk Kampung Pekan Lama Kuala Besut, di sini, tidak bersetuju dengan projek pembinaan sistem perparitan (longkang) dirancang di situ yang dikatakan boleh mengundang beberapa kesan buruk terhadap persekitaran.
Timbalan Pengerusi JKKKnya, Che Abdullah Che Isa berkata, penduduk merayu jabatan berkaitan tidak meneruskan hasrat membina parit di tepi jalan di kampung tersebut kerana ia bukan menjadi keperluan sekarang.
Sebaliknya beliau berkata, pembinaan longkang itu kelak akan menimbulkan banyak masalah sampingan yang menambah kesulitan baharu kepada penduduk.
“Saya puluhan tahun tinggal kat sini, tapi di kampung ini tiada masalah banjir walau sikit pun, jadi saya hairan mengapa perlu bina longkang di situ sekarang.
“Kalau bina longkang beberapa masalah akan timbul seperti bau busuk memandangkan aliran tak sempurna berdasarkan bentuk muka bumi di situ, selain keselamatan terutama kanak-kanak memandangkan jalan itu tak begitu luas.
“Malah lebih 21 penduduk perlu merobohkan pagar rumah atau rumah mereka untuk pembinaan longkang tersebut,” katanya.
Che Abdullah berkata, memandangkan buat masa sekarang longkang tersebut masih tidak menjadi keperluan penduduk, maka sewajarnya projek itu tidak diteruskan.
Sebaiknya katanya, ia boleh dipindahkan ke kampung lain yang amat memerlukan sistem perparitan sekarang.
Tiada perbincangan dibuat
Dakwanya, turut dikesali kerana agensi terbabit langsung tidak berbincang atau meminta pendapat JKKK dan penduduk tentang hasrat itu.
“JKKK tahu-tahu projek ni akan dilaksana, penduduk juga terkejut terima notis tujuh hari daripada pejabat tanah mengarahkan mereka yang terlibat perlu merobohkan sebarang binaan yang berada di atas tanah rizab jalan yang terbabit dengan pembinaan longkang tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya dan penduduk rancang menghantar memorandum kepada Pejabat Tanah Besut dan jabatan berkaitan untuk merayu menangguhkan perkara ini.
“Sewajarnya jabatan berkaitan merujuk terlebih dahulu keperluan utama penduduk.
“Penduduk di sini sekarang tak perlu longkang, sebaliknya mencadangkan bina bulatan di persimpangan jambatan Kuala Besut ke kampung ini dan Bandar Kuala Besut kerana sering berlaku kemalangan jalan raya selain memastikan lampu jalan yang bersambung dengan jambatan Kuala Besut berfungsi,” katanya.
Terkejut terima notis roboh pagar
Penduduk, Jamilah Ismail, 58, berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba mendapat notis merobohkan pagar rumahnya yang berada di atas rizab jalan beberapa hari lalu.
Menurutnya, dia tidak tahu secara rasmi mengenai projek membina longkang di situ.
“Kami tahu longkang elok dibina, tapi memandangkan ia benar-benar tak perlu kerana di sini langsung tidak berlaku banjir atau takungan air maka kami harap janganlah buat longkang. Kasihanlah kami yang terpaksa merobohkan binaan.
“Kami sedar bina rumah di atas tanah rizab jalan jadi kesalahan, tapi memandangkan projek ini tidak perlu jadi bertimbang rasalah kepada kami.
“Lainlah kalau kampung ini memang selalu banjir, sudah tentu kami mahukan projek ini dan kami akur walau terpaksa roboh sebahagian pagar rumah atau rumah sekalipun,” katanya sambil merayu.
Sinar Harian difahamkan Kampung Nail turut terlibat dengan projek tersebut dan penduduk di situ juga tidak bersetuju.
Post a Comment