Peniaga terima balasan rogol anak tiri
Written By Unknown on Friday, 14 August 2015 | 05:30
KOTA BHARU - Balasan atas perlakuan jijik seorang peniaga pasar malam kerana merogol anak tirinya berusia 14 tahun, dia dihukum penjara 17 tahun dan 10 sebatan oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.
Lelaki berusia 35 tahun itu dihukum selepas didapati bersalah apabila gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan. Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.
Tertuduh bersalah merogol mangsa yang berusia 14 tahun lima bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Melor, di sini, pada jam 3 pagi, 4 Mac 2013.
Mahkamah mengarahkan hukuman berkuat kuasa semalam, namun membenarkan penangguhan perlaksanaannya atas permintaan tertuduh dengan syarat membayar jaminan RM20,000.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku insaf dan merayu hukumannya dikurangkan kerana menyesal atas perbuatannya itu.
Pada masa sama, tertuduh juga memohon penangguhan perlaksanaan hukuman tersebut berikutan berhasrat untuk mengemukakan rayuan di mahkamah tinggi.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nordalina Ali bagaimanapun membantah rayuan itu dan mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat.
“Pada masa kejadian, tertuduh bapa tiri mangsa. Walaupun bukan bapa kandung, sepatutnya dia perlu bertanggungjawab melindungi mangsa seperti anak kandung, bukannya melakukan perbuatan tanpa perikemanusiaan seperti itu,” katanya.
Labels:
Jenayah
Post a Comment