Home » » 'Tidak mustahil serpihan hanyut ke pulau itu'

'Tidak mustahil serpihan hanyut ke pulau itu'

Written By Unknown on Wednesday, 5 August 2015 | 21:44


KUALA LUMPUR - Corak pergerakan ombak di lautan dilihat tidak mustahil serpihan sayap MH370 hanyut ke Pulau Reunion.

Menurut bekas ketua juruterbang Malaysia Airlines (MAS‎), Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, penemuan serpihan itu adalah bukti fizikal pertama pesawat tersebut sebenarnya terhempas di Lautan Hindi seperti yang dijangka oleh pasukan mencari.

"Ia adalah bukti fizikal pertama dan jika dilihat daripada corak pergerakan ombak di lautan, adalah tidak mustahil serpihan itu hanyut ke pulau itu," katanya.

Selepas penantian hampir 17 bulan ke atas misteri paling besar industri penerbangan, akhirnya ia boleh dikatakan MH370 disahkan terhempas di Lautan Hindi.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal pagi ini secara rasmi mengumumkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah sah milik MH370‎ yang hilang dari radar pada tengah malam 8 Mac tahun lepas ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Namun persoalan sekarang adalah apa yang berlaku selepas pengumuman ini?

Sementara itu, kata Nik Ahmad lagi, ‎selepas pengesahan serpihan itu adalah sebahagian daripada pesawat tersebut,  pasukan siasatan harus membuat senarai inventori bahagian pesawat Boeing 777 itu yang mungkin boleh hanyut.

"Dengan cara ini, pasukan siasatan pasti boleh mengenalpasti secara pantas jika ada bahagian lain daripada pesawat itu yang ditemui penduduk pulau tersebut," katanya.

Nik Ahmad berkata, pasukan itu juga harus membuat model objek hanyut bagi mencari laluan kemungkinan serpihan lain di lautan berkenaan.

"Mereka juga harus melakukan simulasi menggunakan komputer untuk cuba mencari lokasi sebenar tempat ia terhempas di Lautan Hindi," katanya.

Mengulas perkara sama, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang juga Ketua Kajian dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur, tugas utama sekarang adalah untuk mengesan lebih banyak serpihan dan kemungkinan untuk itu adalah tinggi dengan penemuan itu.

"Langkah seterusnya pasti untuk menumpukan pencarian di sekitar Madagascar dan Afrika kerana serpihan pesawat berkemungkinan besar hanyut ke sana.

"Selain itu, lebih banyak ujian dan analisis perlu dibuat ke atas serpihan itu untuk memastikan sama ada pesawat tersebut terhempas ke laut atau terlebih dahulu meletup di udara," katanya.

Walaupun pengumuman Najib itu membongkar banyak soalan yang tidak terjawab lebih daripada setahun, ia tetap memberi cabaran yang lebih besar kepada penyiasat yang terlibat dalam misi pencarian ini.

Menurut Harridon, cabaran termasuk mencari keseluruhan pesawat yang mungkin terbenam di dasar laut serta mengesan 239 mayat yang mungkin bertaburan pasti satu tugas besar yang memerlukan kesungguhan daripada pasukan mencari.

"Ia pasti sukar dan mencabar untuk pasukan mencari kerana untuk mengesan serpihan adalah proses yang rumit kerana objek biasanya kecil," katanya.

Pesawat itu hilang 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan tiada isyarat kecemasan diberikan dari pesawat Boeing 777-200ER yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam dan dijangka tiba di Beijing jam 6.30 pagi. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger