Mayat ditemui terapung di Pulau Perhentian Kecil
Written By Unknown on Monday, 17 August 2015 | 22:06
BESUT - Mayat seorang warganegara Pakistan ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Perhentian Kecil dekat sini petang Sabtu lepas.
Mayat dikenal pasti sebagai Umair Hassan, 29, yang bekerja sebagai Pegawai Urusan Pelanggan dengan sebuah syarikat tempatan beralamat di Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, Umair yang mempunyai permit bekerja yang sah pergi ke Pulau Perhentian Kecil seorang diri Jumaat lalu dengan mendirikan khemah tanpa menyewa mana-mana resort di situ.
"Mangsa mandi bersendirian di laut berhampiran Long Beach petang Sabtu lalu sehinggalah mayatnya ditemui terapung oleh seorang pemandu bot pelancong kira-kira 4.30 petang hari yang sama," katanya kepada Bernama di sini.
Katanya hasil bedah siasat mendapati kematiannya kerana lemas dan tidak ada sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa telah dituntut oleh abangnya yang datang dari Singapura di rumah mayat Hospital Daerah Besut hari ini. - Bernama
Labels:
Semasa
Post a Comment