Masjid lapan kubah siap akhir tahun
Written By Unknown on Saturday, 15 August 2015 | 17:30
BESUT - Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak Jerteh, yang dibina hasil sumbangan derma rakyat sebanyak RM2.5 juta, dijangka beroperasi akhir tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata masjid itu adalah yang pertama di Besut yang dibina tanpa bantuan kerajaan dan kini 85 peratus siap.
Pembinaan masjid lapan kubah itu berjalan lancar melalui derma yang disumbangkan orang ramai termasuk oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sejak ia mula dibina pada Disember 2013.
“Apabila siap, ia dapat menampung antara 500 hingga 600 jemaah dan dapat menggantikan masjid kayu lama yang digunakan oleh penduduk sejak lebih 20 tahun lepas," kata Idris yang juga Anggota Parlimen Besut selepas melawat masjid itu dan menghadiri Jamuan Hari Raya anjuran Jawatankuasa Masjid Lapan Kubah di sini, hari ini.
Pada lawatan itu, beliau turut menyerahkan tongkat khutbah kepada bilal masjid Wan Ahmad Wan Yaakub, 61, dengan disaksikan Pegawai Agama Daerah Besut Ahmad Azhar Harun.
Idris berharap orang ramai akan terus memberi sumbangan bagi memastikan pembinaan peringkat akhir masjid itu dapat diselesaikan. - Bernama
Labels:
Semasa
Post a Comment