Home » » Ibu resah anak hilang tiga minggu

Ibu resah anak hilang tiga minggu

Written By Unknown on Wednesday, 12 August 2015 | 20:40


JERTIH - “Saya rayu orang ramai atau mana-mana yang mempunyai maklumat mengenai anak lelaki saya yang hilang sejak tiga minggu lalu agar menghubungi saya atau pihak berkuasa segera,” demikian luahan seorang ibu, Rosnani Mat Ali, 38.

Menurut Rosnani, anak lelakinya Muhammad Danial Zaidi, 13, didapati keluar dari rumahnya di Kampung Pulau Berangan dekat Bukit Kenak di sini sejak 23 Julai lalu.

“Kehilangan Danial disedari bapanya ketika ingin mengejutkan dia ke sekolah.

“Namun dia sudah tidak ada di tempat tidur termasuk pakaian dan duit raya miliknya,” katanya yang ditemui di rumahnya semalam.

Rosnani berkata, susulan kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Jertih kerana bimbangkan keselamatan Muhammad Danial yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.

Menurutnya, Muhammad Danial dipercayai keluar rumah sekitar jam 1 pagi pada tarikh berkenaan kerana sebelum masuk tidur iaitu lebih kurang jam 12.30 malam, anaknya itu masih ada di dalam rumah.

“Pada siang hari 22 Julai, dia seperti nak keluar rumah apabila dilihat kemas pakaian dalam beg tapi mungkin tak ada peluang buatkan dia keluar ketika keluarga lain sedang tidur.

“Kami tak ada sebarang perselisihan, cuma saya sering berleter dan nasihatkan dia agar tak terlalu kuat bermain telefon bimbit,” katanya yang bekerja sendiri.

Rosnani berkata, sejak itu dia tidak menerima sebarang khabar mengenai anaknya dan keadaan itu amat merisaukan dia sekeluarga.

“Danial bersekolah di SM Ugama Nurul Huda, Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan.

“Selama ini.. dia tidak punyai sebarang masalah disiplin malah belajar tahfiz di sekolah itu,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki anaknya keluar dengan seseorang yang datang menjemputnya di rumah dan sekarang menyembunyikan anak di suatu tempat.

Rosnani juga mendakwa, perubahan sikap anaknya amat ketara sejak dia menjadi anak angkat kepada seorang lelaki yang berusia akhir 40-an awal tahun lalu.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger