Home » » Termakbul meninggal pada Jumaat

Termakbul meninggal pada Jumaat

Written By Unknown on Friday, 31 July 2015 | 19:43


JERTIH - Hajat bekas penerima anugerah ibu mithali peringkat negeri, Hasmah Daud, 72, untuk meninggal dunia pada Jumaat, termakbul apabila Allahyarhamah maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Padang Luas, di sini, pagi semalam.

Anak mangsa, Dr Nurul Badriah Hassan berkata, Allahyarhamah sering memaklumkan kepada anak-anak mengenai hasratnya untuk meninggal dunia pada Jumaat.

Katanya, dia dan adik beradiknya yang lain bersyukur kerana hasrat Allahyarhamah termakbul, namun mengakui turut bersedih dengan kematian ibu mereka.

“Arwah ibu pernah dapat anugerah ibu mithali kerana mendidik kesemua tujuh anaknya sehingga berjaya dalam pendidikan dan kerjaya,” katanya yang bertugas sebagai pensyarah di USM Kubang Kerian, Kelantan.


'Pesan semadi segera'

Menceritakan kejadian itu, Nurul Badriah berkata, dia mendapat berita ibunya terlibat kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada saudaranya di Jertih, sejurus kemalangan berlaku.

Menurutnya, dia ketika itu berada di Kuala Lumpur untuk hantar adik bongsunya, Mohd Tarmizi yang mahu pulang ke Dublin, Ireland.

Katanya, mereka hanya mampu bertawakal agar dapat menatap wajah Allahyarhamah kerana dia sendiri minta waris di Besut untuk urus dan mengebumikan segera jenazah ibunya itu.

“Kami bergegas pulang selepas terima berita tersebut. Ibu sering pesan, jika dia mati, dia mahu dikebumikan segera.. kalau tiada halangan, dalam tempoh lapan jam selepas dia meninggal dunia.

“Ibu beritahu jangan tunggu kepulangan semua anak baru nak kebumikan jenazahnya, sebaliknya kebumilah dia dalam tempoh itu walaupun tidak semua anak sempat pulang,” katanya yang bersyukur kerana sempat tiba di Kota Bharu lebih kurang jam 4 petang semalam.

Hasrat Allahyarhamah untuk disemadikan dalam tempoh lapan jam selepas meninggal dunia, juga tercapai apabila selamat dikebumikan sebelum Maghrib, semalam.

Jenazah dituntut waris lebih kurang jam 4.50 petang, sebelum disembahyangkan di Masjid Al Fakeh, Balik Bukit, Jertih pada jam 4.55 petang dan dibawa ke Kota Bharu untuk disemadikan.


Arwah sudah bayar urusan pengebumian

Menurut Nurul, ketika hayatnya, Allahyarhamah sudah siap bayar urusan pengebumian di tanah perkuburan dekat Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, Allahyarhamah sebelum ini menetap di Kampung Tembila Hilir dekat Kampung Gong Medang, Kampung Raja, namun selepas kematian bapa mereka, dia tinggal sambil mendalami agama di sekolah pondok itu dengan ditemani pembantu rumah dari Indonesia, Magdalena.

“Masa hari kejadian, ibu pulang ke Kampung Paroh, Jertih dan tinggal di sebuah rumah di kebun buah–buahan selama beberapa hari bersama Magdalena,” katanya.

Difahamkan, sejurus sebelum kejadian, Hasmah bergerak pulang ke kebunnya selepas menjual durian di sebuah gerai di sekitar Kampung Padang Landak (Lak Lok).


Dirempuh ketika buat pusingan U

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kemalangan terbabit berlaku pada jam 11 pagi semalam.

Katanya, mangsa maut akibat parah di kepala selepas Perodua Kelisa dipandunya, dirempuh trak tentera dari arah Kelantan ke Kuala Terengganu berhampiran pusingan U Masjid Padang Luas.

“Penumpang kereta (Magdalena) cedera di kepala, sementara pemandu dan anggota tentera yang menaiki trak tidak cedera. Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan tiba-tiba bergerak ke kanan jalan untuk buat pusingan U, menyebabkan trak tentera dari Kem Desa Pahlawan, Kelantan itu (dari arah sama) merempuh bahagian kanan kereta mangsa.Pemandu trak dikatakan gagal brek kerana jarak dekat. Mayat mangsa yang tersepit, terpaksa dikeluarkan anggota bomba," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger