'Rasa rumah bagaikan bergegar'
Written By Unknown on Friday, 10 July 2015 | 22:22
KUALA BESUT - Lebih lima buah rumah di Dun Kuala Besut mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Seorang mangsa di Kampung Nangka, Siti Zaharah Che Muda, 28, berkata, kejadian pada petang itu amat menakutkan dan kali pertama dialaminya.
Katanya, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala suami, Ahmad Tamazi Yusof, 39, dan dua anak mereka, Ahmad Atiq Arshad, 3 dan Nur Adam Arif, 2, berada di ruang tamu rumah sementara bapa mertuanya, Yusof Ngah, 91, terlantar setelah baru dua hari diserang strok.
“Sebelum atap rumah bapa mertua saya ini diterbangkan angin, saya terlebih dahulu merasakan rumah bagaikan bergegar akibat dipukul ribut.
“Tak lama selepas itu saya terdengar bunyi kuat di bahagian atas atap rumah di ruang tamu dan apabila berlari keluar, saya lihat banyak bumbung diterbangkan ribut serta menampakkan langit,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur seluruh ahli keluarganya selamat meskipun lebih kurang 30 keping atap rumahnya diterbangkan angin.
Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Zaihan berkata, selain Kampung Nangka, kampung lain yang terlibat ialah Kampung Beris Pak Abu, Lay Out Tok Has, Gertak 100 dan Kampung Tengah.
Menurutnya, kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung, namun tahap kerosakan tidak serius kecuali beberapa rumah termasuk sebuah di Kampung Nangka.
“Sebuah rumah di Kampung Nangka alami kerosakan bumbung yang agak banyak berbanding rumah lain,” katanya.
Tengku Zaihan berkata, kakitangan JKM telah meninjau rumah tersebut dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh agensi terbabit dan Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Jertih.
Labels:
Semasa
Post a Comment