Home » » Polis rampas mercun di tapak pasar

Polis rampas mercun di tapak pasar

Written By Unknown on Friday, 10 July 2015 | 23:34


KUALA BERANG - Polis merampas pelbagai jenis bunga api dan mercun berbahaya dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi RM30,000 di tapak gerai perniagaan Pasar Pagi Kuala Berang, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun berasal daripada sebuah kampung di sekitar Kuala Berang yang ketika itu sedang leka menjalankan urus niaga barangan terlarang itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Hussin Deraman berkata, bertindak daripada maklumat orang awam  pihak polis mengadakan serbuan ke tapak jualan tersebut dan mendapati pelbagai jenis barangan terlarang diletakkan atas meja untuk menarik perhatian pembeli.

"Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki tersebut terlebih dahulu cuba berdolak-dalih dengan menafikan mercun-mercun itu miliknya sebaliknya memaklumkan milik taukeh. Namun begitu, tidak berapa lama kemudian akhirnya dia membuka mulut serta mengakuinya.

"Siasatan lanjut juga membawa pihak polis turut menjumpai sebahagian lagi pelbagai jenis mercun dan bunga api berbahaya diletakkan Proton Waja yang di parkir tidak berapa jauh. Kenderaan ini digunakan suspek sebagai tempat menyimpan stok serta memudahkan pergerakannya.

"Suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada Kuala Terengganu dan mula berniaga barangan terlarang itu bermula awal Ramadan baru-baru ini dengan mensasarkan pengunjung Pasar Pagi Kuala Berang sebagai pembeli.

"Suspek sememangnya seorang peniaga tetapi beralih arah dengan berniaga bunga api dan mercun pada bulan puasa ini ekoran perniagaan dijalankannya selama ini kurang mendapat sambutan sewaktu Ramadan," katanya di sini, hari ini.

Tambah Hussin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan nilai anggaran tersebut paling besar dirampas polis pada Ramadan kali ini.

Katanya lagi, sebelum ini pihak polis telah melakukan dua serbuan membabitkan seorang peniaga di Kampung Lebak dan seorang lagi si Kampung Pelam dengan anggaran nilai rampasan dari kedua-dua kes tersebut sekitar RM20,000.

"Jumlah keseluruhan anggaran nilai pasaran bunga api dan mercun daripada tiga serbuan yang dijalankan bernilai RM50,000. Kesemua serbuan dijalankan adalah hasil maklumat orang awam.

"Pihak polis akan memperhebatkan operasi dan serbuan  secara berterusan bagi mengekang perkara ini. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau peniaga yang terlibat dengan kegiatan menjual barang terlarang ini," ujarnya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger