'Kau isteri, anak istimewa'
Written By Unknown on Monday, 13 July 2015 | 20:01
JERTIH - Biarpun diri sendiri sudah tidak berdaya, namun seorang warga emas dari Kampung Gong Badang, di sini, tetap cekal menjaga isteri dan dua anaknya yang mengalami masalah mental sejak lebih 20 tahun lalu.
Wan Hassan Jusoh, 82, berkata, isterinya, Wan Fatimah Wan Mamat, 75; anak keempat, Wan Zainab, 50 dan anak kelimanya, Wan Yusof, 47, menghadapi masalah itu hampir serentak sejak 20 tahun lalu tanpa dia mengetahui puncanya.
Menurutnya, ketika itu Wan Zainab bekerja di Melaka dan Wan Yusof bekerja di Klang, Selangor, manakala Wan Fatimah pula berada di rumah.
“Besar dugaan yang ALLAH beri kepada pakcik, tapi pakcik tidak mahu fikir masalah ini kerana kalau terlalu memikirkannya, sudah tentu fikiran pakcik semakin serabut,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Tidak keruan, sukar dikawal jika tak ambil ubat
Menurut bapa kepada tujuh anak ini, isteri dan dua anaknya itu perlu mengambil ubat setiap hari kerana jika tidak berbuat demikian, mereka pasti tidak keruan, merapu dan bercakap sendirian serta sukar dikawal.
Katanya, pada peringkat awal, Wan Yusof mengalami masalah paling teruk apabila sering merayau dan bertindak agresif, sehingga beberapa kali ditahan di hospital sakit jiwa.
“Isteri pakcik tidak boleh lakukan sebarang kerja rumah termasuk memasak, tapi dari segi fizikal, dia sihat. Wan Zainab yang kadang-kadang membantu memasak untuk makan kami empat beranak. Selain masak sendiri, jiran ada juga datang hantar makanan sekali-sekala.
"Dalam kesusahan ini, pakcik bersyukur kerana mereka bertiga masih boleh mengurus dan membersihkan diri sendiri. Mereka boleh mandi sendiri, tetapi mereka jadi macam pelupa. Malah, isteri dan Wan Yusof tidak berpuasa kerana mereka macam tidak tahu apa-apa,” katanya.
Reda terima ujian ALLAH
Kata Wan Hassan Wan Zainab dan Wan Yusof tidak pernah berkahwin, manakala lima lagi anaknya (tiga daripadanya tinggal di Klang, Selangor) sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, walau seberat mana ujian dan dugaan ALLAH, sebagai suami dan bapa, dia akan melakukan yang terbaik kerana yakin semuanya mempunyai hikmah di sebaliknya.
Katanya, dia akan menjaga isteri dan dua anaknya itu selagi terdaya, walaupun terpaksa berulang-alik ke Hospital Besut sebulan sekali untuk mengambil ubat-ubatan mereka.
“Pakcik tak nak fikir apa akan jadi kepada mereka bertiga jika pakcik lebih awal dijemput ALLAH. Kalau terlalu fikir, nanti pakcik sendiri jadi tidak tentu hala.
"Pakcik serah kepada ALLAH mengenai nasib mereka kemudian hari,” katanya yang bergantung pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Bantuan tak cukup, tapi syukur
Menyentuh mengenai bantuan RM450 yang diterima setiap bulan, Wan Hassan berkata, walaupun tidak mencukupi memandangkan kos barang yang tinggi, tetapi dia tetap bersyukur mendapat bantuan itu bagi meringankan beban keluarganya memandangkan dia tidak mampu lagi melakukan kerja berat.
“Kadang-kadang ada juga orang datang minta pakcik urut, bolehlah upah sedikit. Itu pun pakcik sudah tidak larat seperti dulu lagi,” katanya yang mengusahakan sawah padi ketika sihat dulu.
Wan Hassan juga berharap masalah mental dihidapi isteri dan dua anaknya itu kekal seperti sekarang kerana jika semakin teruk, mereka dikhuatiri akan bertindak agresif serta berbahaya.
Labels:
Semasa
Post a Comment