PP minta PAS arah ahli undur diri
Written By Unknown on Saturday, 13 June 2015 | 05:14
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta supaya kepimpinan baru PAS mengarahkan wakil parti itu yang menduduki jawatan lantikan dalam kerajaan negeri mengundurkan diri.
Menurut Lim, berdasarkan mesyuarat exco semalam mereka sebulat suara memutuskan bahawa tindakan muktamar PAS menerima tanpa bahas usul agar hubungan dengan DAP diputuskan menyebabkan parti itu itu secara automatik memutuskan hubungan dengan kerajaan negeri.
Ini kerana, kata Lim berdasarkan keputusan muktamar itu hubungan dengan kepimpinan negeri khususnya Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow terputus.
Chow juga adalah anggota Exco Kerajaan Tempatan Pulau Pinang.
"Selama ini kerajaan negeri mempunyai hubungan dan kerjasama baik dengan ahli biasa PAS di Pulau Pinang, tetapi nampaknya dimusuhi oleh kepimpinan baru dan pendukung mereka di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Lim berkata, wakil PAS dalam kerajaan negeri telah dilantik atas kesudian untuk bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri dan berikrar setia serta menerima arahan melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, keputusan memutuskan hubungan dengan DAP akan menyentuh prinsip ikrar tersebut yang mempunyai impak besar ke atas wakil PAS.
Ia kerana mereka akan terlibat secara langsung atau tidak dengan ketua menteri dan ahli exco kerajaan tempatan, kata Lim.
"Oleh kerana kerajaan negeri memegang prinsip tata kelola atau urus tadbir kerajaan baik ini, barulah Pulau Pinang dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran.
"Pemimpin yang tidak memahami prinsip ini akan menyebabkan negeri mundur dan ketinggalan zaman," ujarnya.
Labels:
Politik
Post a Comment