Guan Eng tidak sependapat dengan Azmin
Written By Unknown on Thursday, 18 June 2015 | 09:25
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang mempercayai PR masih boleh diselamatkan.
Beliau meminta semua pihak supaya merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bersetuju bahawa pakatan itu sudah berkubur.
Menurutnya, DAP sudah menyatakan pendiriannya berhubung status PR dan kini menyerahkan kepada rakyat untuk memahami situasinya buat masa ini.
“Saya rasa kita perlu rujuk semula kepada kenyataan Wan Azizah. itulah pendirian yang dibuat oleh parti. Masing-masing ada kedudukan, maka tidak perlu menyatakan sama ada nak terima atau tidak (perpecahan PR).
“Bila masa sesuai, saya akan buat kenyataan, buat masa ini, DAP sudah nyatakan pendiriannya dengan jelas bahawa PR tidak wujud lagi," katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata, pentadbiran Pulau Pinang akan berjalan seperti biasa.
Kelmarin, Azmin berkata, ketiga-tiga parti dalam PR perlu mengadakan rundingan segera bagi mengelak berlaku perpecahan.
Beliau turut mengakui ada perbezaan antara ketiga-tiga parti terutama antara DAP dan Pas tetapi yakin PR masih boleh diselamatkan.
Sementara itu, Wan Azizah dalam kenyataannya mengumumkan PR secara rasminya sudah tidak wujud namun Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang terus kekal.
Guan Eng menambah, semua pihak perlu hadapi realiti bahawa PR terdiri dari gabungan tiga parti bukannya individu.
“Apabila Pas buat usul nak putus hubungan dengan DAP, maka dengan sendirinya PR tidak wujud lagi. Kita kena ingat, pakatan ditubuhkan dengan tiga parti,bukan tiga orang. PR bukan Hadi, bukan Kit Siang atau Anwar. PR adalah DAP, Pas dan PKR.
“Jangan kaburi mata rakyat dengan fitnah. Siapa yang cakap individu lebih penting dari parti (dalam PR). Apabila putus dengan DAP, maka PR tidak wujud lagi, jika tidak faham dengan kebenaran ini, saya rasa tidak perlu bincang lagi lah,” katanya.
Kemelut PR ini bermula setelah satu usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan tanpa bahas di muktamar Pas baru-baru ini.
Susulan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan bahawa PR tidak wujud lagi kerana PR terdiri dari tiga parti dan bukan individu.
Labels:
Politik
Post a Comment