Dana Raya Mula diagihkan pada 8 Jun ini – Ahmad Razif
Written By Unknown on Wednesday, 3 June 2015 | 10:40
Kuala Terengganu - Seramai 194,240 penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri 2015 di 32 DUN dalam negeri ini akan mendapat bantuan berkenaan yang melibatkan peruntukan RM71,541,000 yang bermula 8 hingga 17 Jun ini.
Kerajaan negeri akan mengagihkan pembahagian baucar bantuan Hari Raya Aidilfitri dan Dana Bakti Remaja 2015 kepada penerima yang memohon dan layak menerimanya.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, baucar berkenaan boleh ditebus bermula 18 Jun hingga 30 September di tiga buah bank iaitu Bank Simpanan Nasional, Maybank dan Agro Bank yang ditetapkan mengikut DUN masing-masing bagi memudahkan orang ramai.
Bagi bantuan Hari Raya Aidilfitri seramai 194,240 penerima di 32 DUN dalam negeri ini akan mendapat bantuan berkenaan yang melibatkan peruntukan RM71,541,000.
“Kategori yang kita beri ialah Orang Kelainan Upaya (RM300), warga emas (RM300), duda/ibu tunggal ada anak (RM400), duda/ibu tunggal tiada anak (RM300), orang miskin ada anak dan isteri (RM400), orang miskin (bujang berumur 41 tahun keatas dan bergaji RM1500 ke bawah) sebanyak RM300,” ujarnya.
Sementara itu katanya, bagi bantuan Dana Bakti Remaja yang berumur 21 hingga 40 tahun pula akan diagihkan kepada 87 559 penerima yang melibatkan kos sebanyak RM17,511,800.
Ahmad Razif berkata, warga emas dan Orang Kelainan Upaya yang sukar untuk melakukan penebusan baucar di bank seperti agihan bantuan tersebut akan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pengerusi Penyelaras DUN masing-masing.
“Kalau dulu kita beri kepada mana-mana wakil tetapi untuk memastikan supaya tidak berlaku permasalahan atau cubaan penipuan maka kita tetapkan wakil diberi kepada Yang Berhormat Adun kawasan dan juga Pegawai Penyelaras DUN.
“Mungkin mereka boleh menziarahi atau hantar duit sendiri kepada golongan ini agar tidak membebankan OKU, warga emas yang uzur untuk datang ke majlis yang diadakan seperti sebelum ini,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, hari ini.
Program Dana Raya dan Dana Remaja ini telah diagihkan semenjak tahun 2001 sehingga sekarang (14 tahun) yang mana telah dapat meringankan beban keluarga dari keluarga yang kurang berkemampuan dan miskin.
Pada tahun 2014 kenaikan kadar bayaran yang dilakukan oleh Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Yab Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman sedikit sebanyak telah memberi impak kepada penerima.
Labels:
Semasa
Post a Comment