Bubar Pakatan: Nik Abduh gembira DAP buat keputusan
Written By Unknown on Tuesday, 16 June 2015 | 04:51
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengalu-alukan pendirian DAP yang menerima usul membatalkan hubungan di antara dua parti itu.
Malah beliau 'gembira' apabila DAP akhirnya dapat membuat keputusan itu selepas bertindak menyerang parti Islam itu tanpa henti sejak kebelakangan ini.
"DAP bebas buat keputusan sendiri. Sebelum ini DAP tekan PAS. Saya pernah kata PAS akan buat keputusan sendiri, jika DAP nak buat keputusan kena buat sendiri. Jika betul ada kenyataan untuk minta PR bubar, ia kena bawa kepada ketiga-tiga parti.
"Itulah keputusan yang saya mahu. Jangan minta PAS buat keputusan, DAP buat keputusan sendiri, PAS dan PKR buat keputusan masing-masing," katanya yang ditemui pemberita di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata PAS masih kekal bersama Pakatan Rakyat (PR) dan gabungan itu tidak akan berakhir selagi PKR tidak membuat keputusan untuk terus kekal atau sebaliknya.
"Kita di dalam PR adalah hasil gabungan parti. Selagi PR ada lagi dua parti di atas, maka gabungan itu masih wujud," katanya lagi.
DAP, menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Pusat DAP memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi.
Ujarnya beberapa tindakan kepimpinan PAS terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara punca perkara itu diputuskan pada mesyuarat yang berlangsung malam Isnin itu.
"Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan dasar bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat.
“Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.
“DAP akan bekerjasama dengan PKR dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Khalid Samad pula mahu PAS menganggap keputusan DAP itu sebagai pengajaran kepada mereka ekoran usul membatalkan hubungan itu.
"Apa yang dinyatakan oleh DAP, malangnya hasil daripada usul itu dan kita harap ini akan menjadi pengajaran kepada semua orang untuk menjaga tindakan dan kata-kata kerana PR bukan sesuatu yang dapat diwujudkan dan dikukuhkan dalam jangka masa pendek. Ia hasil perjuangan bertahun-tahun tetapi apabila mulut tak dijaga, kata-kata tak dijaga, tindak-tanduk tak dijaga maka inilah hasilnya.
"Ia pengajaran memperbaiki amalan berpakat dan berkongsi sepettimana yang diperlukan apabila kita amalkan tahaluf siyasi dan politik kerjasama dengan parti lain," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad tidak mahu memanjangkan lagi isu ini memandangkang usul itu masih belum diputuskan di peringkat Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat lagi.
"Kita sebagai pemimpin perlu sejuk di dada, membara di kepada. Kita kena tenangkan keadaan," demikian ujarnya.
DAP mendakwa Pakatan Rakyat terus lumpuh apabila Hadi memungkiri janji peribadinya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari lalu untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau dibawa ke Parlimen.
Pengkhianatan Hadi, kata Ahli Parlimen Bagan itu, berterusan apabila pada 6 Jun lalu, Muktamar PAS menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.
Labels:
Politik
Post a Comment