Home » » Tony Pua fail permohonan batalkan saman PM

Tony Pua fail permohonan batalkan saman PM

Written By Unknown on Monday, 11 May 2015 | 02:05


KUALA LUMPUR -  Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua memfailkan permohonan bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua ketika ditemui pemberita selepas kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K. Pavani.

Alliff berkata, mahkamah turut menetapkan 17 Jun untuk pengurusan kes.
   
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Choo Shi Jin yang mewakili perdana menteri.  
   
Pada 8 Mei lepas, Pua memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib atas alasan plaintif (Najib) tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan saman terhadapnya dan mendakwa saman itu bertujuan untuk menyusahkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
   
Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman itu pada 5 Mac lepas dan menamakan Pua, 42, dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 51, sebagai defendan pertama dan kedua.
   
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa pada 13 November tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP telah memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat.
   
Perdana menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya telah dikongsi oleh defendan pertama dan/atau ejen-ejennya di laman facebooknya dan juga defendan kedua dan/atau ejen-ejennya di laman Facebook Mediarakyat.
   
Najib berkata, sehingga 2 Mac lepas, rakaman itu ditonton 194,979 kali di laman YouTube Mediarakyat manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.
   
Katanya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu yang dikenali sebagai 'Prime Minister' dalam perkataan-perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib).

Najib mendakwa, perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.

Najib, yang juga Presiden Umno berkata, perkataan-perkataan fitnah itu merupakan fitnah yang amat serius dan menyebabkannya dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh kawan-kawan, kenalan dan masyarakat awam di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dan juga menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dan pihak antarabangsa dengan plaintif.
   
Beliau berkata, penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya yang akan berterusan selama bertahun-tahun lamanya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.
   
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejennya daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger