Home » » Pesara ditemui mati di ruang tamu

Pesara ditemui mati di ruang tamu

Written By Unknown on Tuesday 19 May 2015 | 18:50


KAMPUNG RAJA - Seorang pesara AADK ditemui mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu sebuah rumah papan di Penempatan Nelayan, Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini, semalam.

Mamat Salleh, 64, yang pernah berkhidmat di Pusat Serenti Besut dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang berbau.

Menurut kenalan mangsa yang dikenali sebagai Rosli, mayat Mamat ditemui jirannya kira-kira jam 9.15 pagi semalam setelah terhidu bau busuk.

Katanya, dia segera pergi memeriksa di sekitar rumah berkenaan yang dalam keadaan pintu dan tingkap tertutup.

“Selepas melihat melalui lubang dinding rumah tersebut dikatakan jirannya melihat mangsa terlentang di ruang tamu rumah,” katanya.

Rosli berkata lagi, mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan selepas berpisah dengan isterinya kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia menghidap penyakit kencing manis kronik yang memaksa dia membuat suntikan sendiri selain berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Dia sering menunggang basikal di sekitar kampung namun dikatakan tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu. Kali terakhir saya bertemunya pada 12 Mei lalu, apabila dia meminta saya mengeluarkan wang pencennya selain memberi barangan dapur untuknya,” kata Rosli yang kini masih berkhidmat di Pusat Serenti Besut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikan kejadian sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa selain daripada masalah kesihatan.

“Mangsa dipercayai mati sekurang-kurangnya dua hari lepas, berdasarkan keadaan mayat mangsa,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger