Home » » Penantian bertahun berakhir

Penantian bertahun berakhir

Written By Unknown on Wednesday, 20 May 2015 | 19:14


KAMPUNG RAJA - Kesulitan dihadapi pemilik kenderaan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan mereka di pusat pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) sejak sekian lama bakal berakhir apabila syarikat tersebut kini menyediakan Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom di daerah ini.

Perkhidmatan tersebut ditempatkan di tapak parkir Stadium Mini Kampung Raja di sini selama dua hari sebulan untuk menjalankan pelbagai jenis pemeriksaan kenderaan, demi kemudahan pelanggan di Besut dan kawasan sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, selain kunjungi pusat pemeriksaan Puspakom sedia ada, masyarakat di sini punya pilihan  guna perkhidmatan itu di lokasi tersebut.

Menurutnya, kadar bayaran pemeriksaan dikenakan seperti ketetapan  semasa iaitu antara RM20 dan RM75  bergantung kepada jenis pemeriksaan dan kenderaan serta tanpa caj tambahan yang dikenakan.

“Proses pemeriksaan di Puspakom  mudah dan laporan pemeriksaan diberikan kepada pelanggan serta merta.    

"Perkhidmatan Unit Bergerak Puspakom ini meliputi semua jenis pemeriksaan mandatori (kecuali Pemeriksaan Awalan) yang digariskan  Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pemeriksaan dilakukan termasuklah pemeriksaan berkala, pemeriksaan khas dan pemeriksaan tukar milik.

Selain itu turut diadakan  pemeriksaan sukarela yang melibatkan proses pemeriksaan pengesahan nombor enjin dan casis, pemeriksaan bahagian atas dan bawah kenderaan, ujian brek dan ujian suspensi.

Mohammed Shukor berkata, perkhidmatan bergerak itu menjimatkan masa pelanggan yang perlu jalankan pemeriksaan kenderaan, sama ada pemeriksaan berkala untuk pemeriksaan komersial atau pemeriksaan untuk kenderaan persendirian.

“Kami juga menggalakkan pemilik kenderaan persendirian membuat pemeriksaan sukarela di unit bergerak ini untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan mereka di jalan raya dengan kadar bayaran RM40,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi talian bebas tol Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakomi 1-800-222-210 atau talian bebas tol Puspakom menerusi 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang Puspakom di www.puspakom.com.my.

Sementara itu penduduk di daerah ini melahirkan rasa gembira dengan perkhidmatan yang disediakan Pusapakom itu kerana ia banyak mengurangkan beban yang dihadapi pengguna khususnya dalam urusan pemeriksaan kenderaan.

Peniaga, Mohd Azrul Hamid, 35, berkata, selama ini penduduk di daerah ini termasuk sebahagian Setiu terpaksa ke Kuala Terengganu atau Kota Bharu, Kelantan bagi tujuan pemeriksaan kenderaan.

“Jarak yang jauh itu bukan sahaja menuntut masa yang panjang untuk pemeriksaan tetapi juga kos tinggi dan mereka terpaksa mengambil cuti," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger