Dilibas pedang sampai putus tangan
Written By Unknown on Friday, 15 May 2015 | 17:50
BESUT -Seorang pemuda putus pergelangan tangan kanan dan cedera di beberapa bahagian badan lain selepas ditetak dua lelaki bertopeng menggunakan pedang dalam kejadian di hadapan sebuah gerai burger dekat Rumah Murah Kampung Raja, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian lebih kurang jam 9 malam itu, mangsa bersama seorang rakannya sedang membeli burger di gerai hadapan kawasan perumahan berkenaan tidak jauh dari rumahnya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, menurut rakan mangsa, ketika kejadian dia berada di dalam kereta menunggu mangsa yang memesan burger di gerai tersebut.
Menurutnya, tiba-tiba sebuah Proton Wira berwarna gelap berhenti di sebelah keretanya.
“Sebaik kereta itu berhenti, dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan pedang dan memakai topeng keluar dan terus menetak mangsa beberapa kali.
“Mangsa yang terkejut dengan serangan itu tidak sempat mengelak dan sebaik menyerang mangsa, kedua-dua suspek terus melarikan diri,” katanya.
Khaled berkata, selain putus pergelangan tangan kanan, tulang siku kiri mangsa patah, luka di bahu kanan, dahi, hidung, cedera di lutut kanan serta ditikam di paha kanan.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut dan keadaannya ketika itu dilaporkan separuh sedar.
“Susulan kejadian itu, abang mangsa berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan memaklumkan tidak tahu mengapa adiknya diserang kerana mangsa tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
“Setakat ini, kita masih belum mengenal pasti punca kejadian dan identiti suspek yang bertanggungjawab di sebalik serangan ini,” katanya.
Tambahnya, polis sedang mengesan suspek dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.
Labels:
Jenayah
Post a Comment