Ceramah Kit Siang: Penganjur sila beri penjelasan
Written By Unknown on Thursday, 14 May 2015 | 06:16
KOTA BHARU - Pas Kelantan tuntut penjelasan Pas kawasan Kota Bharu berhubung penganjuran ceramah umum Ahad lalu yang membabitkan kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kritikan terbuka Kit Siang dalam ceramah umum tersebut amat tidak wajar ketika Kelantan akan kemukakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan) 2015 atau hudud di Parlimen.
“Dia sepatutnya hormati kerajaan negeri, berani dia datang ke Kelantan walaupun dia tolak hudud dan ia sudah jelas (penolakan) itu sejak dahulu.
“Tidak patut bertindak sedemikian, dahulu dia (Kit Siang) bersuara dari luar (penolakan) sekarang dalam rumah kita (di Kelantan),” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, agak ‘tidak manis’ menjemput Kit Siang yang lantang mengkritik perlaksanaan hudud untuk berceramah di Kelantan.
“Tidak sesuai bila jemput (Kit Siang) ke Kelantan dan bercakap dalam nada berbeza dengan Pas negeri, memang dahulu dia sering datang ketika zaman Tok Guru ( Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tetapi kini isunya berbeza.
“Pandangan beliau bercanggah dengan pendirian kerajaan negeri mengenai isu hudud, kita tunggu jawapan daripada penganjur apa tujuan mereka bawa Kit Siang dan menganjurkan ceramah tersebut,” katanya.
Kit Siang juga dikritik hebat oleh beberapa pemimpin Pas kerana dikatakan cuba ‘mengajar’ Pas Kelantan mengenai hudud dalam ucapan ceramah umum ‘Kukuhkan Pakatan Hancurkan Barisan’ yang turut dihadiri, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, Mohd Amar turut mempersoalkan tindakan Kit Siang yang menjadikan Mesir dan Jordan yang majoritinya Islam tetapi tidak melaksanakan hukum hudud.
“Contohnya tidak kena, memang dua negara itu majoriti Islam tetapi tidak guna dasar Islam. Isu (hudud) dan penolakan Kit Siang bukan benda baharu kerana sudah banyak hujah serta pandangan dilontarkan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya bersedia untuk berjumpa pada bila-bila masa namun setakat ini belum menerima sebarang arahan.
“Belum terima apa-apa, tapi kalau Pas negeri nak jumpa kita sedia jumpa bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Labels:
Politik
Post a Comment