Video murid sekolah dibuli teruk tersebar
Written By Unknown on Saturday, 3 January 2015 | 19:58
PETALING JAYA – Satu lagi video pelajar sekolah rendah dibuli menjadi viral di laman sosial hingga mencetuskan kegusaran dan kemarahan orang ramai.
Kes dikatakan berlaku di sebuah sekolah rendah di Alor Setar, Kedah dan ia turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Kebangsaan MIC Sivarraajh Chandran yang turut berkongsi video berkenaan di laman Facebook miliknya.
“Saya telah meminta Ketua Biro Pendidikan untuk membuat laporan mengenai kes buli ini. Saya menggesa Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan penuh.
“Kita sepatutnya mendidik generasi akan datang supaya mereka menjadi insan yang berkualiti dan bersopan santun dan bukannya menjadi pembuli di sekolah,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi The Rakyat Post, Pengarah Strategi MIC Datuk Seri S. Vell Paari berkata, dia menerima rakaman video yang kemudian dikongsi bersama anggota parti yang lain.
“Saya telah meminta bekas pengerusi MIC Kedah untuk menyiasat sekolah di mana insiden itu dikatakan berlaku kerana tulisan di belakang baju yang dipakai oleh seorang murid itu tidak dapat memberikan maklumat terperinci.
“Beliau biasa dengan sekolah-sekolah di Kedah dan berjanji akan menghubungi saya sebaik saja mendapat maklumat, esok,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bimbang dengan keadaan di negara ini selepas melihat satu lagi video buli murid, terutamanya melibatkan pelajar di sekolah rendah.
Vell Paari menggesa pihak berkuasa untuk melihat perkara ini secara serius dan menyiasat mengapa kejadian ini berlaku kerana menurutnya, “Suatu hari nanti pasti akan berlaku kematian akibat buli.”
“Kejadian buli berlaku hampir di semua negara tetapi seperti di Amerika dan Australia, kita perlu mengambil langkah serius untuk menangani kejadian ini dan memastikan ia tidak berlaku lagi.
“Saya akan berbincang dengan P. Kamalanathan (Timbalan Menteri Pendidikan) mengenai perkara ini dan juga video berkenaan.
“Tidak kiralah sama ada ia video lama atau tidak, setahun atau dua tahun lalu, kejadian seperti ini perlu dihentikan.”
Pada Nov 2014 saja, dua video buli menjadi viral di laman sosial. Satu daripadanya adalah video sepanjang empat minit di mana sebilan pelajar lelaki dipukul dengan teruk oleh sekumpulan lima pelajar di bilik asrama.
Jurucakap Polis Bukit Aman Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, insiden berlaku pada 2010 dan suspek utama dalam video itu telah dibuang sekolah walaupun bukan atas sebab membuli.
Satu lagi video memaparkan seorang budak lelaki yang dipukul dan ditumbuk di kepalanya dan beberapa kali ditendang ke almari kayu.
Asmawati berkata, insiden berkenaan berlaku di sebuah rumah anak yatim di Kangar, Perlis pada 25 Mei, tahun lalu.
Pembuli-pembuli itu telah ditahan dan didakwa di mahkamah di mana mereka mengaku bersalah dan dihantar ke Penjara Pokok Sena Prison di Alor Setar, Kedah.
Labels:
Jenayah
Post a Comment