Home » » Saya tak dipaksa nyanyi – Zamani

Saya tak dipaksa nyanyi – Zamani

Written By Unknown on Saturday, 24 January 2015 | 01:28


PETALING JAYA - Penyanyi Zamani (Slam) mengakui tiada sebarang paksaan ketika anggota polis merakamkan dia menyanyi lagu popularnya, Gerimis Mengundang  pada hari pertama ditahan di lokap pada Rabu.
Penyanyi berusia 44 tahun yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu berkata, dia dengan rela hati menyanyi kerana diminta berbuat demikian secara baik selepas anggota polis itu memberitahu mereka adalah peminat Slam.
“Saya tidak dipaksa untuk menyanyi atau berlaku sebarang kekerasan, saya menyanyi selepas individu itu betul-betul menunjukkan dia peminat tegar Slam.
“Dia menyanyi beberapa lagu Slam dihadapan saya dan meminta saya turut nyanyi sekali, namun dia sudah berjanji bahawa rakaman itu hanya untuk simpanan personal  sahaja,” ujarnya kepada mStar Online, di sini, Sabtu.
Pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim itu ditemui di pejabat peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar di Villa Damansara, di sini, selepas dibebaskan dari tahanan reman awal pagi Sabtu.
Terdahulu media melaporkan seorang penyanyi 1990-an dan teman wanitanya ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi Rabu lalu.
Serbuan pada pukul 12.30 malam itu dilakukan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang itu telah menemui satu bungkusan plastik disyaki heroin seberat kira-kira 1.2 gram di dalam sebuah bilik.
Ujian air kencing mendapati penyanyi berkenaan positif dadah jenis morfin, manakala teman wanitanya berusia 32 tahun positif dadah amphetamine.
Bagaimanapun, Zamani mengakui terkilan dengan penyebaran video tersebut yang dianggap mengaib dan menjatuhkan maruah dia dan keluarganya.
“Silap saya kerana tidak lihat semula rakaman video tersebut yang nampak jelas tangan saya bergari. Ketika itu saya yakin ia hanya untuk simpanan peribadi sahaja.
“Namun, saya tahu niat dia bukan untuk memalukan saya, sebaliknya video itu tersebar tanpa kawalan selepas ia terlepas ke tangan orang lain. Apabila berpeluang melihat rakaman video itu, saya sangat malu dengan masyarakat  yang menontonnya,” jelasnya.
Zamani turut merayu agar masyarakat tidak lagi berkongsi video tersebut dilaman-laman sosial.
Sementara itu, ditanya tentang keengganannya mengambil sebarang tindakan kepada individu tersebut, Zamani berkata, dia tidak mahu menutup periuk nasi orang lain.
Katanya, biarlah perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat.
“Perkara itu sudah berlaku dan dia juga tidak bermaksud memalukan saya. Kalau saya ambil tindakan mungkin dia akan kehilangan pekerjaannya sekarang.
“Saya tidak mahu menutup periuk nasi orang,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang pembebasannya, Zamani mengucapkan syukur dan lega apabila diberi peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan.
Jelasnya, banyak hikmah disebalik penangkapan tersebut yang membuatkan dirinya tekad untuk membersihkan diri daripada najis dadah.
“Alhamdulillah, saya lega apabila dapat keluar dan dari apa yang berlaku, baru saya tahu masih ramai yang sayangkan saya dan mahu melihat saya pulih.
“Insya-Allah saya akan berusaha untuk berubat dan ke pusat pemulihan dadah selepas segalanya selesai. Saya tahu bukan mudah untuk memberi janji kerana susah untuk pulih daripada dadah ini.
“Namun saya akan cuba sedaya upaya dengan bantuan keluarga,” ujarnya.
Zamani berkata, sejak bergelumang dengan gejala dadah 10 tahun lalu, dia sudah dua kali secara sukarela ke pusat pemulihan dadah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).
Bagaimanapun, dia mengakui statusnya sebagai seorang selebriti menyukarnya dia untuk ke pusat tersebut secara sembunyi-sembunyi.
“Saya sudah dua kali pergi ke pusat pemulihan AADK iaitu pada 2010 dan 2012, namun gagal untuk pulih sepenuhnya. Lagi pula sebagai orang yang dikenali masyarakat menyukarkan saya untuk pergi ke pusat pemulihan itu tanpa diketahui ramai.
“Saya akui malu untuk ke sana dan takut dengan tangapan orang ramai. Namun sekarang orang semua sudah tahu lebih memudahkan saya untuk mendapatkan pemulihan,” katanya. Zamani akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada  27 Januari ini.
Dalam perkembangan lain, dua anggota polis yang dikenalpasti terbabit merakam dan meyebarkan video penyanyi ini telah digantung tugas.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismai berkata, pihaknya mengadakan siasatan berhubung penyebaran video penyanyi, Zamani Ibrahim yang menjadi virul menerusi media sosial itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pangkat kedua-dua anggota terbabit, tetapi memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan jika didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, lapor mStar.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger