Anak terkejut lihat bapa dibaham buaya
Written By Unknown on Saturday, 3 January 2015 | 19:26
SERIAN - Mencari rezeki menangkap udang dan ikan di Sungai Batang Samarahan di sini bagi seorang petani, Idris Yakub, 56, tidak pernah menggusarkan hati lelaki itu walaupun menyedari sungai tersebut dihuni oleh ‘sang bedal’ yang ganas.
Tiada apa yang dibimbangkan oleh lelaki berasal dari Kampung Panchor Baru Melayu di sini itu kerana dia sudah cukup memahami tentang selok-belok keadaan di sungai yang selalu menjadi tempatnya memasang belat untuk menangkap ikan dan udang.
Namun, ibarat pepatah ‘malang tidak berbau’, begitu juga nasib menimpa Idris apabila dia akhirnya menemukan ajal setelah dibaham buaya ketika sedang memasang belat bersama dua anaknya di sungai tersebut malam tadi.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Chung Aik Peng berkata, mangsa bersama anak perempuannya, Saujana, 12, dan Mohd. Shahrizal, 8, keluar memasang belat menaiki sebuah bot kayu menyusuri tebing sungai berkenaan ke Kampung Soh di Batu 27, Jalan Kuching-Serian di sini pada pukul 7 malam.
Beliau berkata, kira-kira pukul 11 malam selepas air pasang, mangsa bersama anak-anaknya mula memasang belat di tebing sungai berkenaan.
“Kira-kira pukul 12 tengah malam, anak mangsa tiba-tiba terdengar jeritan bapa mereka dan Saujana yang menyuluh ke arah bapanya terkejut melihat lelaki itu dibaham buaya.
“Dalam keadaan cemas, dua beradik itu sempat melarikan diri ke darat meminta bantuan penduduk di Kampung Soh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk kampung kemudian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian memaklumkan kejadian itu dan usaha mencari mangsa segera dijalankan oleh polis bersama anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk tempatan.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 1.50 pagi ini berjaya menemukan mayat mangsa di sungai berkenaan iaitu kira-kira 1.8 kilometer dari bot mangsa berlabuh memasang belat.
Tambahnya, mayat mangsa yang dijumpai pada pukul 9.55 pagi ini berada dalam keadaan mengerikan iaitu putus dari bahagian dada hingga kepala dan putus pergelangan kaki kiri.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk pemeriksaan dan sudah dituntut oleh isterinya, Raini Salim, 40, untuk dikebumikan di Kampung Panchor Baru Melayu,” katanya sambil memberitahu kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, lapor Utusan.
Labels:
Semasa
Post a Comment