BESUT - Tidak puas hati kerana si isteri tidak menunaikan kemahuannya untuk mendapatkan sejumlah wang menyebabkan seorang lelaki hilang pertimbangan apabila bertindak mahu mencederakan mangsa menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut, di sini Rabu lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 34 tahun sedang berehat di rumah mereka sebelum dihampiri suaminya.
Menurutnya, perselisihan faham antara pasangan itu tercetus selepas mangsa tidak memberi sejumlah wang seperti yang dikehendaki suspek berusia 30-an.
“Mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang namun jawapan itu mengundang kemarahan suspek sehingga mahu mencederakan mangsa
menggunakan sebilah parang,” katanya.
Kata sumber lagi, mangsa memaklumkan kejadian seumpama itu sering berlaku dan suspek selalu meminta wang daripadanya secara paksa.
Menurutnya, wanita itu juga mendakwa suspek akan mengamuk dengan mengugut mangsa menggunakan parang setiap kali mangsa enggan memberikannya wang.
“Tidak tahan dengan sikap suspek selain bimbang keselamatannya kerana suspek adalah penagih dadah menyebabkan mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Post a Comment