PasMA mungkin jadi pengganti PAS dalam Pakatan
Written By Unknown on Saturday, 6 September 2014 | 00:14
SHAH ALAM: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA) yang pada mulanya ditubuhkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan berkemungkinan akan dihaluankan sebagai sebuah parti politik.
Ia rentetan langkah drastik PAS menamakan tiga ADUNnya sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu sekaligus memberi tamparan hebat kepada PKR yang sebelum ini beria-ia mahukan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat ke jawatan itu.
PKR dan DAP dikhabarkan akan menjadikan PasMA sebagai alternatif di dalam Pakatan Rakyat setelah kecewa dengan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menamakan tiga ahli exco daripada PAS untuk jawatan kerusi panas itu.
Kebanyakkan pemegang jawatan utama PasMA dipercayai terdiri daripada pemimpin PAS dan menjadi penyokong Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dimana ia sudah tersebar melalui media sosial.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, PasMA ditubuhkan oleh sekumpulan invidivu yang terlibat dalam usaha mempengaruhi kepimpinan PAS sejak 1990.
Dr Zuhdi, yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, berkata kumpulan tersebut cuba untuk menentukan siapa yang patut memegang portfolio penting dalam parti, termasuk kedudukan ketua-ketua sayap dan jawatan tertinggi dalam parti.
"Tetapi kali ini, kita melihat satu langkah terdesak untuk mencabar Presiden PAS.
"Sekiranya mereka gagal untuk memaksa perubahan, saya tidak terkejut jika PasMA ditransformasikan sebagai sebuah parti politik," katanya.
Dr Zuhdi merupakan pemimpin PAS yang pertama menyerang Anwar berhubung agenda Langkah Kajang.
Sementara itu Presiden PasMA, Datuk Phahrolrazi Zawawi terkejut apabila wujud cubaan merampas NGO itu dan senarai nama pemegang jawatan yang berlainan daripada senarai asal yang diketuainya itu.
"Saya tidak tahu jika ada sesiapa merampas pertubuhan kami. PasMA adalah sebuah NGO yang berdaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan).
"Mungkin terdapat entiti lain yang menggunakan nama yang sama tetapi berfungsi sebagai parti politik tanpa saya sedari," katanya.
Phahrolrazi, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, beliau merupakan Presiden PasMA dan Timbalannya adalah Ustaz Ahmad Husin (Kelantan), manakala Taib Ahmad (Kedah) adalah Setiausaha Agung dan jawatan Bendahari dipegang oleh Ismail Abdul Rahman.
"Kami ada kira-kira enam ahli jawatankuasa dan wakil dari setiap negeri," katanya yang dipetik mStar Online.
Meskipun begitu, tersebar di media sosial pada masa kini adalah senarai nama pemegang jawatan yang berlainan daripada yang dinyatakan Phahrolrazi.
Dalam senarai tersebut, Ahmad Awang (Perak) dinamakan sebagai Mursyidul Am PasMa, Muhammad Husin (Kelantan) Timbalannya, manakala Datuk Husam Musa sebagai Presiden, Timbalan Presiden Dr Hatta Ramli, Naib Presiden Dr Dzulkifli Ahmad, Khalid Samad dan Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ketua Pemuda adalah Sheikh Omar, Ustaz Mohamad Nor sebagai Ketua Ulama dan Ketua Muslimat adalah Aiman Athirah.
Antara, ahli Jawatankuasa PasMA adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin.
Phahrolrazi berkata semasa Dr Hatta membantu penubuhan NGO itu dan Husam tidak terlibat secara aktif.
"Husam mengadakan jamuan makan malam untuk kami apabila kami mengadakan forum di Kelantan pada minggu lalu. Tetapi Husam tidak menghadiri forum tersebut," katanya.
Phahrolrazi berkata, mereka merancang untuk mengadakan forum di Lembah Klang pada minggu lalu untuk membincangkan mengenai PAS dan Umno.
Katanya, antara penceramah jemputan untuk forum tersebut termasuk Ahmad Awang, Husam dan Dr Mujahid
“PasMA ditubuhkan bagi menyediakan platform untuk perbincangan," katanya.
Labels:
Politik
Post a Comment