Ugut mahu sembelih warga emas
Written By Unknown on Saturday, 2 August 2014 | 18:43
BESUT - Seorang warga emas disamun barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 di rumahnya di Kampung Gelam Mas, Kampung Raja di sini, kelmarin.
Mangsa yang berusia 61 tahun itu kehilangan dua gelang emas permata berlian, sebentuk cincin berlian dan emas serta sepasang subang emas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang apabila mangsa didatangi tiga individu, termasuk dua wanita yang berpura-pura mahu menyewa sebuah bilik di inap desa miliknya.
Menurutnya, mangsa membawa suspek lelaki dan seorang perempuan masuk melihat bilik manakala seorang lagi suspek wanita menunggu di luar.
“Sebaik berada di dalam rumah, suspek lelaki mula menunjukkan belangnya apabila tiba-tiba mengeluarkan sebilah golok lalu meletakkan di tengkuk mangsa.
“Suspek mengugut untuk menyembelih mangsa jika membuat bising sambil mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga yang ada,” katanya.
Noorzainy berkata, bimbang keselamatannya, mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek dengan menyerahkan pelbagai barangan kemas yang dipakainya.
Katanya, sebaik mendapatkan hasil, tiga suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona menghala ke Kampung Keluang.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
--SINAR
Labels:
Jenayah
Post a Comment