Home » » Samun 5 wanita dalam masa dua jam

Samun 5 wanita dalam masa dua jam

Written By Unknown on Wednesday, 20 August 2014 | 22:54


BESUT - Polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu suspek yang dipercayai menyamun barang kemas lima wanita, termasuk seorang wanita hamil di lokasi berasingan dalam tempoh tidak sampai dua jam dekat Jertih, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, pasukan yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah itu memburu suspek selepas menyamun mangsa di lima kampung berasingan di kawasan Jabi, Hulu Besut dan Jertih.

Menurutnya, empat mangsa adalah warga emas berusia 58 hingga 80 tahun dan seorang wanita hamil berusia 41 tahun, sementara suspek hanya menyamun barang kemas mangsa membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM50,000.

"Seorang mangsa berusia 66 tahun dari Kampung Kubang Depu,  Hulu Besut masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selepas dipukul suspek.

"Mangsa yang dikatakan menghidap penyakit jantung dan terpaksa dirawat akibat kesukaran bernafas selepas ditendang suspek, namun keadaannya stabil," katanya.

Noorzainy berkata, seorang lagi mangsa berusia 64 tahun lebam di mata kiri dipercayai ditumbuk sebanyak dua kali oleh suspek yang masuk ke rumahnya di Kampung Alor Selinsing Jertih.


Pura-pura tanya rumah Jusoh

Sebelum itu katanya, mangsa dikatakan menyamun seorang suri rumah berusia 58 tahun di Kampung Gong Penaga, Jabi.

"Ketika berada di halaman rumah, mangsa dihampiri  seorang lelaki tidak dikenali menaiki kereta dipercayai Honda City yang berpura-pura bertanyakan rumah ‘Jusoh’.

“Belum sempat mangsa menjawab soalan itu, suspek bertindak memeluk mangsa dan menyamun seutas rantai tangan milik mangsa sebelum melarikan diri. Akibat kejadian itu, mangsa sakit dan lebam di pergelangan tangan sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, selepas satu jam kejadian itu, seorang lagi wanita  berusia 40 tahun di Kampung Alor Keladi, di sini, turut menjadi mangsa samun seorang lelaki tidak dikenali.

Kejadian terakhir dipercayai melibatkan nenek berusia 80 tahun turut  menanggung kerugian hampir RM7,000 selepas tiga utas rantai tangan emas dipakainya dilarikan dalam kejadian di Kampung Tok Has, di sini.

Kata Noorzainy, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari  ketika mangsa berada di kedai makan milik anaknya di Kampung Tok Has, di sini, sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali menunggang sebuah motosikal.

“Siasatan awal terhadap semua mangsa, polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang sama berdasarkan kenderaan, fizikal  dan modus operandi iaitu melibatkan wanita khususnya warga emas dan tinggal bersendirian.

“Bagaimanapun polis masih menyiasat sama ada kesemua kes dilakukan suspek yang sama atau sebaliknya dan kes disiasat mengikut  Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang sedang hamil lima bulan, Norzaini Ismail, 41, dari Kampung Alor Keladi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.53 pagi berhampiran rumahnya.

“Waktu itu saya sedang tarik kambing dekat rumah, tiba-tiba saya lihat seorang lelaki sudah dekat dengan saya.

"Saya sempat tolak (suspek) bagi menghalang perbuatannya tetapi gagal selepas terjatuh menyebabkan rantai leher saya dilarikan lelaki terbabit. Saya kerugian antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Honda menghala ke pekan Jertih dari Jalan Pasir Akar, di sini.


Penjenayah tertinggal kasut

Seorang lagi mangsa, Salmiah Mat, 64, berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di rumahnya dekat Kampung Alor Selinsing, kira-kira jam  11.30 malam.

Katanya, dia sedang menjahit di bilik, namun keluar selepas terdengar bunyi orang berjalan di ruang tamu rumah.

“Keluar saja dari bilik, makcik nampak seorang lelaki berada di dalam rumah dengan memakai cermin mata hitam. Dia tanya makcik kenal tak dia sebelum tanya siapa ada di dalam  rumah.

“Sebab panik makcik tersalah cakap tinggal seorang menyebabkan lelaki itu cuba merampas rantai leher makcik. Makcik cuba melawan, tapi ditumbuk  sebanyak dua kali pada sebelah mata kiri,” katanya yang ditemui, semalam.

Salmiah berkata, penjenayah itu berjaya merampas seutas rantai leher dan gelang yang dipakainya.

Warga emas itu yang berada seorang diri di dalam rumah berjaya melepaskan diri kemudian keluar dari rumah untuk  meminta pertolongan, manakala suspek masih berada di dalam rumah.

“Selepas makcik menjerit beberapa kali di tepi jalan, lelaki itu bergegas keluar dari rumah sehingga tertinggal kasut yang dipakainya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan di luar pagar rumah makcik,” katanya yang dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, mangsa paling tua, Tuan Yah Tuan Soh, 80, mengalami lebam di tangan selepas suspek menarik gelang tangan dipakainya.

Dia yang tinggal bersama anaknya di Kampung Gong Penaga, Air Terjun dekat Jertih dipukul sekali di bahagian belakang badan tetapi tidak kuat.

Kesemua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jertih.
--sinarharian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger